suria

Jentera penerangan Umno jelaskan perubahan dalam parti

KUALA LUMPUR: Beberapa Umno negeri sudah bersedia untuk menggerakkan program penerangan mengenai pindaan perlembagaan dan hala tuju parti itu kepada anggota akar umbi sebagai pendekatan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pemimpinpemimpin Umno di peringkat negeri berpendapat sesi penerangan itu perlu segera dilaksanakan bagi memberi kefahaman dan pengetahuan yang jelas mengenai usaha Umno melakukan transformasi dalam perjuangannya khususnya untuk menjadi juara kepada semua rakyat.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Dali Hussin berkata program berkenaan, yang akan bermula bulan depan dan melibatkan Ketua Penerangan empat peringkat, akan menjelaskan kepada anggota Umno dan juga rakyat tentang perubahan yang dilakukan oleh parti itu.

Perhimpunan Agung Umno dari 13 hingga 16 Oktober lepas telah meluluskan pindaan kepada perlembagaan parti, antara lainnya, bagi membolehkan 146,500 pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian memilih Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden dan Anggota Majlis Tertinggi.

Sebelum ini, pemilihan itu dibuat oleh hanya 2,500 yang menjadi anggota perwakilan ke perhimpunan agung. Langkah itu bertujuan membanteras gejala politik wang dalam parti itu.

Dali berkata sesi penerangan yang akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu itu juga akan menjelaskan tentang amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan agung itu yang meminta anggota Umno berubah dan menjadi juara pembela rakyat serta mendahulukan kepentingan rakyat daripada kepentingan sendiri.

Bagi tujuan itu juga, beliau berkata, Umno Kelantan akan mengadakan kursus kepada jentera penerangan Umno bahagian di negeri itu pada 6 dan 7 November ini, supaya mereka benar-benar memahami perubahan dalam parti itu.

"Kita mahu menzahirkan roh dan semangat perjuangan di kalangan anggota akar umbi selaras dengan perubahan yang dilakukan parti," katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya mulai tahun depan, setiap Umno Bahagian di Kelantan diminta mengadakan satu ceramah umum di kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, pula berkata pihaknya akan mengadakan program penerangan itu menerusi modul Satu Program Setiap Bulan Setiap Bahagian (SPSB), bermula bulan depan.

Buat permulaan, beliau berkata pihaknya akan memberikan taklimat kepada kesemua ketua penerangan dan setiausaha Umno empat peringkat iaitu bahagian, wanita, pemuda dan puteri, mengenai pindaan perlembagaan itu serta perubahan yang dilakukan oleh Umno.

"Kita hendak setiap bahagian mengemukakan program masingmasing selepas balik daripada menghadiri bengkel di Janda Baik (Pahang) pada hujung bulan ini.

"Setiap 13 Umno Bahagian di Pulau Pinang perlu mengadakan satu program penerangan di bahagian masingmasing, insya-Allah bermula bulan depan. Penerangan ini bukan sahaja dalam bentuk ceramah malah boleh diadakan tayangan video dan sebagainya," kata Musa yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukur Idrus berkata pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 30 penceramah berwibawa bagi setiap 22 Umno Bahagian menjelang pertengahan tahun depan.

Beliau berkata penceramah berkenaan akan ditugaskan bagi memberi penjelasan serta penerangan berhubung isu-isu semasa serta menangkis dakyah pembangkang.

"Pada masa ini, terdapat hanya 10 penceramah di setiap Umno bahagian dan ada antara mereka dari luar Selangor. Jadi, bila tiba pilihan raya umum, kita tidak dapat menggunakan khidmat mereka.

"Maka, dengan adanya 30 penceramah yang akan kita lahirkan daripada setiap bahagian ini, mereka boleh fokus kepada bahagian masing-masing selain dapat menerangkan tentang perubahan yang dilakukan oleh parti," katanya.

Beliau berkata mulai bulan depan juga, pihaknya akan memastikan setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor akan mengadakan satu ceramah setiap bulan bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada masyarakat setempat.

"Kita juga akan gabungkan Ketua Penerangan bagi setiap empat peringkat untuk memberikan penjelasan pada programp-rogram kecil di lebih 3,000 cawangan Umno di Selangor," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain