suria

Dua penculik ditembak mati, hanya sempat 'enjoy' duit tebusan RM100

JOHOR BAHARU: Dua lelaki yang menculik seorang budak lelaki berusia 16 tahun pada 6.45 pagi di Segamat, Selasa lepas hanya sempat berbelanja RM100 wang tebusan itu selepas mereka ditembak mati dalam drama tembak menembak dengan polis awal hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penculik yang berumur 35 dan 38 tahun itu terlebih dahulu melepaskan tiga das tembakan ke arah polis.

Polis yang membalas semula tembakan mereka berjaya menewaskan kedua-dua penjenayah itu.

Drama tembak menembak itu berlaku berhampiran bandar Chaah dekat Segamat kira-kira pukul 1.50 pagi.

Kata Mokhtar, para penculik hanya sempat berbelanja RM100 daripada RM130,000 wang tebusan yang dibayar oleh keluarga mangsa semalam.

Polis suspek mereka menggunakan wang tebusan itu untuk membeli makanan dan petrol.

Laporan polis dibuat apabila budak lelaki itu dibebaskan tanpa dicederakan oleh para penculik berkenaan, katanya.

"Sebuah pasukan petugas khas berjaya mengesan suspek yang menaiki kenderaan Proton Wira dan memintas mereka dekat Chaah. Mereka enggan menyerah diri dan menembak ke arah polis yang menyebabkan polis membalas semula tembakan itu untuk mempertahankan diri," katanya kepada para pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti penculik berkenaan kerana kes itu masih dalam siasatan polis.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk revolver .38mm, tiga butir peluru dan tiga bilah parang daripada suspek.

Penculik terbabit mempunyai rekod jenayah sebelum ini dalam kes curi dan lain-lain jenayah, kata Mokhtar sambil menambah polis juga masih mengenalpasti sama ada kejadian culik itu turut melibatkan lain-lain suspek selain dua penjenayah yang ditembak mati itu.

Dalam perkembangan berkaitan, polis telah menyelesaikan tujuh kes penculikan tahun ini dengan mangsa-mangsa culikan berjaya diselamatkan dan menemui semula wang tebusan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kes jenayah supaya menghubungi hotline polis di talian 072212999 atau balai polis berdekatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain