suria

Pesalah dikesan dalam laporan audit dikenakan tindakan - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau kecewa dengan perbelanjaan melampau dan penyelewengan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah.

"Apa yang penting daripada laporan itu ialah sama ada kita akan bertindak atau tidak. Mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan," kata Perdana Menteri ketika menjawab soalan pada taklimat media mengenai bajet di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Najib berkata sebagai sebahagian daripada amalan kerajaan yang baik, kerajaan perlu memberi penghargaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi baik tetapi bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Katanya beliau yakin keadaan akan menjadi lebih baik dengan adanya Petunjuk Prestasi Utama dan Bidang Keberhasilan Utama yang diumumkan awal tahun ini untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Barubaru ini, Najib melantik bekas pengarah urusan Penerbangan Malaysia Datuk Seri Idris Jala sebagai menteri yang mengetuai sebuah unit memantau Petunjuk Prestasi Utama.BERNAMA

Artikel Lain