suria

Kerana RM3, kanak-kanak 11 tahun didera bapa

KUALA LUMPUR: Hanya kerana dituduh mencuri RM3 wang bapanya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera hampir di seluruh badannya akibat dipukul dengan kayu penyapu oleh bapanya di Taman Muda, Ampang Jaya.

Dalam kejadian pada 12 Oktober lepas, kanak-kanak itu dituduh mencuri wang milik bapanya untuk membeli makanan kerana wang belanja yang diberi bapanya tidak mencukupi.

Kejadian itu, difahamkan bukanlah pertama kali menimpa kanak-kanak itu kerana sejak ibunya melarikan diri dan meninggalkannya ketika dia berusia dua tahun kerana tidak tahan dengan sikap suaminya, kanak-kanak itu sering dipukul oleh bapanya yang berusia 49 tahun itu hanya kerana kesilapan kecil.

Penderitaan kanak-kanak itu berakhir apabila dia diselamatkan selepas menceritakan kejadian dia sering dipukul kepada rakan sekolahnya yang kemudian mengadu kepada ibunya.

Ibu rakan kanak-kanak itu memberitahu pemberita di sini hari ini, apabila beliau mengajak budak lelaki itu ke rumahnya pada 14 Oktober lalu, beliau terkejut melihat hampir keseluruhan badannya dipenuhi calar dan bengkak akibat dipukul. Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan sebelum laporan polis dibuat.

Semalam, kanak-kanak itu dibenarkan keluar dari hospital itu dan kini ditempatkan di bawah penjagaan sebuah badan kebajikan.

Ketika ditanya oleh pemberita mengenai kesengsaraan yang terpaksa dilaluinya, kanak-kanak itu hanya berdiam diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Amiruddin Jamaluddin berkata, bapa kanak-kanak itu ditahan pada 16 Oktober baru-baru ini untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain