suria

Kerajaan sahkan INSTITUT JANTUNG NEGARA tidak akan diswastakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa ia tidak akan menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) sama ada secara keseluruhannya mahupun sebahagian.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Beliau telah diminta menjelaskan isu ini ekoran tersebarnya khabar angin terbaru kononnya IJN untuk kali yang kedua menjadi subjek kepada pengambilalihan secara penswastaan.

Sebelum ini cadangan Sime Darby untuk membeli kepentingan dalam IJN telah mendapat bantahan majoriti rakyat sehingga pelan itu gagal direalisasikan.

"Unit Perancangan Ekonomi (EPU) belum memberi sebarang kelulusan bagi penswastaan IJN," katanya semasa dihubungi Bernama.

"Tiada apa (kelulusan) telah dihantar kepada kami. Malah, walau sesiapa pun datang menemui kami mengenai perkara itu, tiada apa yang akan diswastakan, tidak secara sebahagian atau secara keseluruhan," kata beliau lagi.

Menurut laporan beberapa laman blog, Lembaga Pengarah IJN telah dibenarkan untuk melakukan skim merungkaikan aset secara meluas, yang merupakan satu langkah yang pada akhirnya memisahkan fungsi operasi institut itu dan mewujudkan anak syarikat baharu.

IJN kini beroperasi di dalam bentuk IJN Holdings Sdn Bhd yang memiliki Hospital IJN. Terdapat juga IJN Capital dan IJN College di bawah pengurusan sedia ada sekarang.

Artikel Lain