suria

Juruteknik Majlis Daerah Mersing didakwa rasuah

KOTA TINGGI: Juruteknik Majlis Daerah Mersing yang didakwa kerana dua tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat Isnin lepas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan serupa.

Nasarudin Jaafar, 43, didakwa menerima rasuah RM300 daripada Habsah Muyet melalui akaun Maybanknya, untuk membantu syarikat Rantau Damai Enterprise mendapatkan kerja-kerja menurap jalan di Jalan Kolam Air, Jemaluang, Mersing, 12 Feb, 2007.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau denda maksimum RM10,000.

Peguam bela tertuduh, Khairul Azwad Sariman memohon agar kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat berikutan cadangan pihak pendakwaan agar perbicaraan dijalankan serentak dengan dua lagi kes tertuduh sebelum ini.

Hakim Kunju Krisnan Nair membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat bagi perbicaraan yang ditetapkan 22 Dis depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Taufik Khamis.

Isnin lepas, Nasarudin dituduh meminta rasuah RM5,000 daripada Habsah bagi membantu syarikat Rantau Damai mendapatkan kerja membaiki jalan di Jalan Kolam Air, Jemaluang, kira-kira jam 5.30 petang, Okt 2006, di lobi Hotel Prime City, Kluang dekat sini.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 16 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM1,000 di sebuah rumah di Jalan Tinggi 2, Sri Lalang, Kluang, 7 Nov 2006 daripada Habsah sebagai upah bagi membantu syarikat Rantau Damai mendapat projek menurap jalan di Jalan Kolam Air, Jemaluang.

Nasarudin didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama. BERNAMA

Artikel Lain