suria

Wanita dan teman lelaki Sudan mungkin hadapi tuduhan bunuh

KUALA LUMPUR: Seorang wanita rakyat tempatan bersama teman lelakinya warga Sudan dijangka berdepan tuduhan membunuh anak perempuan wanita itu yang meninggal dunia minggu lepas disyaki akibat didera teruk di sebuah kondominium di Cheras.

Pasangan itu yang masing-masing berusia 24 tahun telah disoal siasat berhubung kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, kata Ketua Polis Kajang ACP Mohd Sakaruddin Che Mood hari ini.

Katanya polis telah menghantar laporan penuh berhubung kes itu kepada pihak pendakwa hari ini dan sedang menunggu arahan selanjutnya.

Wanita itu dipercayai cuba menyembunyikan sebab kematian anaknya berusia tiga tahun itu dan pada mulanya dilaporkan memberitahu polis bahawa anaknya didera oleh pembantu rumah tetapi siasatan menunjukkan dia tidak pernah mempunyai pembantu rumah.

Mohd Sakaruddin berkata lelaki Sudan itu memasuki negara ini menggunakan visa sebagai pelajar tetapi dia tidak menuntut di mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini.

Kedua-dua suspek yang ditangkap pada 14 Okt lepas kini ditahan reman sehingga Ahad ini.

Tinjauan Bernama mendapati ramai warga Afrika menghuni kondominium itu.

Artikel Lain