suria

RM1 juta untuk IPTA anjur program tingkat kebolehpasaran graduan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan peruntukan RM1 juta untuk setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menganjurkan program bersama pihak industri bertujuan menambah nilai dan meningkatkan kebolehpasaran graduan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata program itu mesti berasaskan sektor strategik yang boleh meningkatkan industri berasaskan inovasi dan menjamin peluang pekerjaan untuk graduan.

"Tidak cukup hanya menguasai ilmu dalam universiti, kerana dunia pekerjaan sekarang memerlukan seseorang graduan itu boleh bersaing, lebih-lebih lagi kerana perubahan yang berlaku begitu cepat dalam sesuatu bidang ilmu.

"Justeru, pihak universiti boleh mengemukakan cadangan-cadangan program seumpama ini kepada pihak kementerian," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian untuk Pusat Pemecutan Kepakaran Domain CODE8) dalam ICT dengan Mimos Berhad di sini, semalam.

Memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Zulkifle A.Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Berhad Datuk Abdul Wahab Abdullah.

Khaled berkata kementerian juga menjalankan pelbagai usaha sama dengan pihak industri dan telah membelanjakan RM48 juta dalam menjayakan program seumpama itu.

Mengenai memorandum perjanjian itu, beliau berkata ia bertujuan melahirkan graduan berkemahiran dalam bidang pembangunan perisian, kejuruteraan dan teknologi berasaskan pengetahuan.

"Saya difahamkan melalui memorandum ini, satu latihan industri akan dilaksanakan membabitkan penyertaan 50 pelajar institut pengajian tinggi selama setahun, iaitu enam bulan di Mimos Berhad dan enam bulan di industri," katanya.

Beliau berkata graduan yang terlibat dijamin mendapatkan pekerjaan selain diberi pelbagai insentif oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Mimos termasuk elaun bulanan sebanyak RM2,400. BERNAMA

Artikel Lain