suria

Polis siasat kaitan inspektor dengan kematian wanita

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kaitan kehadiran seorang inspektor polis muda di kediaman wanita yang ditemui mati terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Tun Razak awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata sebelum kejadian, difahamkan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mayat Kok Yoke Tien, 22, ditemui di tingkat satu selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 18, Kondominium Vista Damai.

"Polis terima panggilan dari pegawai keselamatan kondominium tersebut memaklumkan mereka menemui mayat gadis berkenaan di beranda sebuah unit rumah di tingkat satu kondominium berkenaan.

"Mangsa mati akibat kecederaan parah di keseluruhan badan bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa mungkin terjun dari bangunan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata inspektor berkenaan yang berusia 20an dari Selangor berada di dalam kediaman mangsa ketika kejadian.

"Kita sedang menyiasat...dipercayai sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham antara mereka.

"Saya memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan yang mendalam," kata Zakaria.

Pegawai polis itu bagaimanapun tidak ditahan. BERNAMA

Artikel Lain