suria

Pesakit mental mati selepas serang pembantu perubatan

HULU TERENGGANU: Seorang pesakit mental yang mengamuk dan menyerang seorang pembantu perubatan mati setelah terjatuh dalam pergelutan dengan lima pesakit mental lain yang cuba menyelamatkan pembantu perubatan itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Tengku Hamzah Abdullah berkata, kejadian berlaku pada 1 petang semalam ketika pesakit berkenaan yang berusia 50 tahun, berada di ruang rehat wad psikiatrik Hospital Hulu Terengganu.

"Ketika dia diminta oleh pembantu perubatan Mohd Najei Aziz menukar baju untuk rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, dia tiba-tiba menumbuk muka pembantu perubatan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tengku Hamzah berkata bahawa ketika itu, lima pesakit lain cuba melerai pergelutan yang berlaku menyebabkan pesakit mental itu terjatuh ke lantai dan cedera di kepala.

"Dia dihantar ke HSNZ dan meninggal dunia tengah hari tadi manakala Mohd Najei mengalami bengkak di muka dan hidungnya berdarah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain