suria

Mahkamah tolak rayuan dua lelaki terhadap hukuman rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan dua lelaki bekas pegawai sebuah syarikat terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen bagi tuduhan menerima rasuah lapan tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha dalam penghakimannya berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, Rosenani Abdul Rahman tidak tersasar dan terkhilaf dalam membuat keputusan terhadap Nor Azmi Wahab, 47, dan Ab Patah Omar, 59.

Ghazali mengekalkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM100,000 atau enam bulan penjara terhadap Nor Azmi. Ab Patah juga dikekalkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM97,500 atau enam bulan penjara.

Kedua-dua yang didapati bersalah diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen, pada 2 Ogos 2007.

Mereka didakwa menerima rasuah daripada Sofiyan Yahya, pengarah urusan syarikat Kijangmaju Sdn Bhd, sebanyak RM20,000 setiap seorang sebagai bayaran untuk mempercepatkan pelepasan cek bayaran terakhir berjumlah RM142,200 berkaitan dengan satu subkontrak pembekalan pekerja mahir bagi kerja-kerja penyelenggaraan di KLIA. Ketika kejadian Nor Azmi merupakan Timbalan Pengurus Besar syarikat Urusan Teknologi Wawasan Sdn Bhd manakala Ab Patah adalah pengurus syarikat yang sama. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maria Coffee House, Mint Hotel, pada pukul 9 malam, 20 Mac 2001.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Ghazali berkata dalam keputusan lalu, Rosenani tidak hanya bergantung pada pita rakaman (perbualan antara perayu dan pengadu) oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sahaja tetapi juga mengambil kira keterangan daripada saksi lain dan tindakan Nor Azmi serta Ab Patah berada di tempat kejadian untuk mengambil wang perangkap menunjukkan mereka bersetuju menerima rasuah.

"Saksi keenam (Sofiyan) telah hubungi BPR untuk buat laporan. Selepas itu telah diarah telefon kedua perayu untuk pelepasan cek terakhir dan direkodkan. BPR telah buat rakaman telefon yang mengesahkan permintaan ini.

"Kehadiran keduanya di hotel itu menunjukkan perbuatan menyetuju terima rasuah. Hakim Mahkamah Sesyen tidak tersalah arah dalam keputusan tentang fakta ini dan perbuatan itu jelas."

"Tindakan perayu pertama (Nor Azmi) dan perayu kedua (Ab Patah) dengan membuka sedikit sampul itu (sampul berisi duit perangkap) dan intai serta berkata 'ok, we trust you, tak mau kira' telah menunjukkan mereka bersetuju," katanya.

Sepanjang prosiding Nor Azmi dan Ab Patah kelihatan tenang dan peguam Azrul Zulkifli Stork dan K. Kulasekar yang mewakili mereka memohon penangguhan hukuman bagi mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Baharuddin Ahmad Kassim. BERNAMA

Artikel Lain