suria

Ketua Pembantu Tadbir JAIS didakwa dua tuduhan rasuah

SHAH ALAM: Seorang Ketua Pembantu Tadbir di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) hari ini, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Raja Nor Hisham Raja Hizat, 54, didakwa menggunakan kedudukannya pada 28 Sept dan 6 Nov 2006 di Unit Kewangan Jabatan itu di Daerah Petaling untuk mendapatkan suapan dengan memilih Warisan NDE Enterprise untuk membekalkan peralatan pejabat kepada pengurusan JAIS.

Peralatan pejabat itu bernilai RM3,932 dan RM4,694.20.

Kedua-dua pertuduhan itu turut menyebut Raja Nor Hisham mempunyai kepentingan iaitu adalah pemilik bersama perniagaan itu dan dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.

Sabit kesalahan dia boleh dipenjara tidak lebih daripada 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Raja Nor Hisham juga tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu pada 28 Sept dan 6 Nov 2006, tertuduh sebagai pegawai penjawat awam yang terikat di sisi undangundang untuk tidak mengambil bahagian dalam perniagaan, telah mengambil bahagian di dalam perniagaan.

Ini menjadi kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan di mana mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguambela tertuduh, M.Reza Hassan memohon ikat jamin anak guamnya dikurangkan kerana wanita itu mengeluarkan RM20,000 bagi membiayai perubatan suaminya yang terkena serangan angin ahmar di sebuah hospital swasta awal bulan ini.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi keduadua pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes dibicarakan pada 1 hingga 5 Feb tahun depan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Syafinas Shabudin dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain