suria

Ketua Audit Negara tegur panjang lebar Rangkaian Hotel Seri Malaysia

PUTRAJAYA: Laporan Ketua Audit Negara ke atas aktiviti dan prestasi kementerian/jabatan dan pengurusan syarikat milik kerajaan persekutuan mendapati Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd (RHSM) tidak diurus dengan cekap termasuk pengurusan aset sehinggakan ia gagal merealisasikan potensinya untuk mencapai keuntungan yang maksima.

Malah RHSM tidak membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang terlibat sungguhpun telah memperoleh keuntungan bersih berjumlah RM1.21 juta dan RM1.46 juta masing-masing pada tahun 2006 dan 2007.

Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 11 Tahun 1993 menetapkan bahawa syarikat milik kerajaan perlu membayar dividen daripada sebahagian keuntungan yang diperolehi bagi sesuatu tahun kewangan pada kadar sekurang-kurangnya 10% setiap tahun kepada Kerajaan selaku pemegang saham syarikat.

Syarikat juga perlu mengemukakan kepada Kementerian Kewangan sebab-sebab yang munasabah sekiranya ia gagal membayar dividen kepada Kerajaan. Semakan Audit mendapati ia tidak berbuat demikian.

Semua penemuan ini terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dibentangkan kepada Parlimen kelmarin.

RHSM telah ditubuhkan pada bulan April 1994 bagi menguruskan rangkaian hotel kos sederhana di seluruh negara. Syarikat ini mempunyai modal berbayar RM131.34 juta. Sejumlah RM118.93 juta (90.6%) daripada modal tersebut adalah dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Pemegang saham yang lain adalah Kerajaan Negeri di mana terdapatnya Hotel Seri Malaysia. Bagi menjaga kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, RHSM adalah bertanggungjawab menentukan dasar pengurusan hotel secara sistem francais dan memastikan dasar tersebut dipatuhi oleh pihak yang terlibat.

Sistem francais tersebut yang dikenali sebagai Sistem Francais Hotel Seri Malaysia mempunyai beberapa objektif utama antaranya menggalakkan pengusaha kecil khususnya pengusaha Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri pelancongan; menyediakan kemudahan penginapan sederhana untuk pelancong tempatan dan antarabangsa serta meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberi oleh hotel kategori kos sederhana di samping menjadi pemangkin kepada pengusaha swasta untuk melabur dalam bidang ini.

Seksyen 6(d), Akta Audit 1957 menghendaki Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan untuk menilai sama ada aktiviti Kerajaan diuruskan dengan cekap, berhemat dan selaras dengan objektif aktiviti berkenaan. Pengauditan tersebut melibatkan pelbagai aktiviti seperti pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan cukai dan program peningkatan sosio ekonomi.

Di bawah Sistem Francais Hotel Seri Malaysia, RHSM adalah Francaisor iaitu pemilik kepada sistem ini dan juga pemilik Hotel Seri Malaysia manakala Francaisi (Pengendali Hotel) pula adalah merupakan individu perseorangan Bumiputera yang dilantik menguruskan Hotel Seri Malaysia dengan menggunakan Sistem Francais Hotel Seri Malaysia.

Bagi memastikan pengurusan hotel dibuat dengan teratur, RHSM telah melantik satu syarikat pengurusan iaitu Gateway Inn Management Sdn. Bhd. untuk menguruskan Sistem Francais Hotel Seri Malaysia yang kini mempunyai 19 hotel di seluruh negara termasuk Hotel Seri Malaysia Kepala Batas yang mula beroperasi pada bulan Mac 2009.

Syarikat pengurusan tersebut juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan salah sebuah Hotel Seri Malaysia untuk dijadikan flagship hotel kepada rangkaian hotel yang lain di bawah Sistem Francais ini.

Sebagai sebuah syarikat sendirian berhad yang dimiliki oleh Kerajaan, RHSM perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan peraturan lain yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa. Antara lain, Akta Syarikat 1965 menetapkan tentang keperluan pelantikan Lembaga Pengarah dan Setiausaha Syarikat serta fungsi mereka untuk pengurusan syarikat.

Manakala pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menetapkan tentang kaedah pelantikan Lembaga Pengarah, Ketua Eksekutif dan penubuhan Jawatankuasa Audit serta fungsi mereka.

Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 Tahun 1993 antaranya menetapkan bahawa peraturan berkaitan dengan perbelanjaan syarikat perlu diperkemas dan diperketatkan bagi tujuan mengurangkan kos operasi dan mengelakkan pembaziran.

Bagaimanapun semakan Audit mendapati beberapa kelemahan berlaku dalam proses perolehan dan pengurusan pembayaran RHSM seperti berikut :-

* Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2005 menetapkan bahawa Kementerian/Agensi/Syarikat Kerajaan dibenarkan untuk memecahkecilkan perolehan dengan syarat antaranya perolehan melibatkan kerja khusus yang perlu mematuhi standard; memerlukan kepakaran khusus serta melibatkan penyampaian perkhidmatan yang kritikal kepada orang awam.

Bagaimanapun, semakan Audit mendapati keperluan tersebut tidak dipatuhi di mana sejumlah RM0.90 juta yang merupakan kerja bagi melaksanakan projek infrastruktur ICT telah dipecahkecilkan kepada 5 kontrak berasingan dan RM0.77 juta bekalan peralatan/perisian CCTV Surveillance System bagi hotel dan Ibu Pejabat RHSM telah dipecahkecilkan kepada 4 kontrak berasingan untuk mengelakkan daripada perolehan secara tender.

Berdasarkan maklum balas terhadap teguran Audit, pihak pengurusan telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan pegawai yang terlibat secara langsung dengan perolehan tersebut.

* Semakan Audit juga mendapati pembayaran berjumlah RM42,398 bagi projek menaik taraf Sistem Maklumat RHSM tidak dibuat kepada syarikat pembekal yang sepatutnya di mana nama di baucar bayaran dan invois adalah berlainan dengan nama penerima cek. Perkara ini dibangkitkan apabila RHSM menghubungi syarikat pembekal tersebut untuk memaklumkan mengenai beberapa pencanggahan dari segi invois dan cara pembayaran cek dilakukan.

Adalah didapati invois pembayaran tidak dikeluarkan oleh syarikat pembekal tersebut, sebaliknya telah dikeluarkan oleh seorang pelobi atau runner syarikat pembekal tersebut yang sememangnya berurusan mengenai projek menaik taraf ICT dengan RHSM.

Laporan polis telah dibuat pada bulan September 2008 dan sehingga kini, kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa berkenaan.

* Semakan Audit terhadap baucar pembayaran bagi tempoh bulan Januari hingga Disember 2008 mendapati 44 pembayaran berjumlah RM0.56 juta berkaitan pembelian barang dan perkhidmatan tidak dilakukan melalui pesanan pembelian. Bagi kesemua baucar bayaran yang disemak, tanda cop “Telah Dibayar” tidak dibuat ke atas dokumen sokongan.

Manakala perakuan pengesahan tidak dibuat terhadap salinan fotostat dokumen yang menyokong pembayaran. Ketiadaan perakuan ini mendedahkan kepada risiko pembayaran 2 kali.

* Pada tahun 2000, sejumlah RM45.80 juta geran telah diberikan oleh Kementerian Kewangan kepada RHSM bagi membiayai kos pengambilalihan Hotel Putra Palace di Perlis. Syarat pemberian geran ini akan menyebabkan penambahan ekuiti Menteri Kewangan (Diperbadankan) dalam RHSM ketika itu daripada 73.9% (RM115.50 juta) kepada 79.8% (RM161.50 juta).

Bagaimanapun, geran ini tidak digunakan untuk tujuan pengambilalihan Hotel Putra Palace dan disebaliknya dimasukkan dalam simpanan tetap RHSM. Kementerian Kewangan pada bulan Ogos 2007 telah bersetuju meluluskan supaya faedah terkumpul daripada simpanan tetap sebanyak RM7.67 juta atas geran terlibat dimasukkan ke akaun Refurbishment Fund RHSM.

Sungguhpun akaun bank berasingan telah diwujudkan pada 29 Februari 2008, namun tiada transaksi yang menunjukkan jumlah ini telah digunakan untuk tujuan perbelanjaan baik pulih hotel. Garis panduan berhubung penggunaan dana ini juga masih belum disediakan.

Menurut Akta Syarikat 1965, Lembaga Pengarah bertanggungjawab memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan aset syarikat diuruskan dengan cekap dan teratur.

Semakan Audit terhadap pengurusan aset RHSM mendapati kelemahan seperti berikut:-

* Daftar aset tidak diselenggarakan dengan lengkap dan tidak kemas kini di mana jenis, bilangan dan kos seunit aset tidak dinyatakan. Keterangan sesuatu aset juga tidak tepat dan lengkap. Ketiadaan maklumat yang lengkap dan tepat ini menyukarkan rujukan bagi tujuan pelupusan, pengenaan susut nilai serta penggantian aset.

* Aset tidak ditandakan dengan nombor kod pendaftaran/pengenalan dan ini menyebabkan kedudukan aset kepunyaan RHSM dan Pengendali Hotel sukar untuk dikenal pasti.

* Verifikasi terhadap aset khususnya aset yang ditempatkan di hotel tidak pernah dibuat sejak penubuhan RHSM. Ini menyebabkan kedudukan fizikal dan lokasi sebenar aset tidak dapat ditentukan sama ada masih wujud, boleh digunakan, hilang, rosak atau tidak ekonomi dibaiki.

* Mekanisme tertentu untuk mengumpulkan maklumat aset di setiap hotel tidak ditentukan dan menyebabkan proses penyerahan dan pengambilalihan aset semasa pertukaran Pengendali Hotel tidak dibuat dengan teratur. RHSM pula tidak menyediakan senarai berasingan kedudukan aset mengikut hotel.

* Penyenggaraan bangunan dan kelengkapan hotel tidak dibuat secara berjadual dan keadaan ini boleh menyebabkan aset tidak dijaga dengan baik.

Pada pandangan Audit, Kementerian Kewangan hendaklah memastikan RHSM mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 dan semua pekeliling yang telah dikeluarkannya bagi memastikan pengurusan kewangan RHSM dibuat dengan teratur dan berhemat.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara lagi, objektif Kerajaan menubuhkan RHSM adalah untuk menguruskan Sistem Francais Hotel Seri Malaysia. Bagi tujuan ini pihak RHSM telah menetapkan beberapa prosedur serta memeterai perjanjian dengan Syarikat Pengurusan serta Pengendali Hotel.

Bagaimanapun, objektif tersebut tidak mungkin dapat dicapai dengan cekap dan berkesan sekiranya kelemahan dalam sistem tersebut terutamanya dalam memantau aktiviti Syarikat Pengurusan dan Pengendali Hotel tidak diperbetulkan segera.

Sehubungan dengan itu, pihak Audit mengesyorkan supaya pihak-pihak yang terlibat dalam sistem francais hotel RHSM dan Kementerian Kewangan memberi pertimbangan terhadap perkara-perkara berikut :-

* Memandangkan Kerajaan telah membelanjakan tidak kurang daripada RM208.30 juta (tidak termasuk kos pengubahsuaian) untuk membina 19 Hotel Seri Malaysia, pihak pengurusan perlu memastikan tanah tapak hotel-hotel berkenaan dipindah milik kepada Kerajaan Persekutuan dengan segera bagi menjamin kepentingan Kerajaan.

* Pihak pengurusan RHSM perlu membuat susulan dengan Syarikat Pengurusan Sistem Francais Hotel Seri Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang tidak terdapat dalam Laporan Management Operation Review untuk membantunya menilai prestasi Pengendali Hotel.

* Memandangkan Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu telah dipilih menjadi flagship hotel sebagai model kepada hotel lain, pihak pengurusan RHSM perlu memastikan operasinya termasuk pengurusan kewangan sentiasa mencapai standard yang ditetapkan.

* Pihak pengurusan perlu memastikan garis panduan bagi tujuan pengurusan dana yang sedia ada dikaji semula dan dikemaskinikan. Pemantauan mengenai pengurusan dana perlu dibuat secara berkala oleh Lembaga Pengarah untuk memastikan penggunaannya dibuat dengan teratur, telus dan selaras dengan objektif ditetapkan.

* Bagi memastikan objektif Kerajaan melaksanakan Sistem Francais Hotel Seri Malaysia dapat dicapai sepenuhnya, Lembaga Pengarah dan pengurusan RHSM; Syarikat Pengurusan serta Pengendali Hotel perlu memastikan peranan, fungsi dan tanggungjawab masing-masing dilaksanakan dengan cekap dan berkesan serta selaras dengan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.

* Lembaga Pengarah perlu memantau prestasi Jawatankuasa Audit supaya ia dapat berfungsi dengan lebih berkesan terutamanya dalam memastikan pihak pengurusan RHSM menangani kelemahan yang telah dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara. Sehubungan ini, pihak pengurusan RHSM juga perlu mengisi dengan segera jawatan di Unit Audit Dalam yang telah diluluskan.

* Kementerian Kewangan hendaklah memastikan RHSM mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 dan semua pekeliling yang telah dikeluarkannya bagi memastikan pengurusan kewangan RHSM dibuat dengan teratur dan berhemat.

Artikel Lain