suria

Wang selenggara dibayar tapi pemantauan tidak ada dalam Pengurusan Sistem Perangkap Lampu Merah Berkamera

PUTRAJAYA: Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan semalam mendapati Sistem Perangkap Lampu Merah Berkamera yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kos berjumlah RM8.98 juta telah diurus dan diselenggarakan tanpa pemantauan yang berkesan.

Sistem tersebut dibangunkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya mematuhi isyarat lampu merah dan seterusnya boleh mengurangkan kadar kemalangan di persimpangan jalan.

Laporan tersebut menyebut, kontrak penyenggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti bagi sistem ini bernilai RM5.46 juta telah ditandatangani antara Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dengan Commercial Circle (M) Sdn. Bhd untuk tempoh tahun 2004 hingga 2009.

Bagaimanapun setakat 31 Disember 2008, sejumlah RM3.21 juta telah dibayar kepada kontraktor tetapi berdasarkan pengauditan yang dijalankan mendapati pengurusan dan pemantauan terhadap Sistem Perangkap Lampu Merah Berkamera adalah kurang memuaskan.

Di antara beberapa kelemahan yang didapati boleh menjejaskan keberkesanan fungsi sistem ini ialah peralatan sistem tidak digunakan sepenuhnya; kerosakan peralatan sistem yang tidak dibaiki dan tidak disenggarakan dengan sewajarnya; penempatan peralatan sistem di lokasi yang tidak sesuai serta pengeluaran saman yang tidak diuruskan dengan cekap.

Sebahagian besar daripada punca kelemahan ini adalah kerana kelewatan pelantikan kontraktor untuk kerja-kerja penyelenggaraan; ketiadaan kordinasi di antara PDRM dengan kontraktor serta pihak berkuasa tempatan; kesukaran mendapatkan alat ganti; kekurangan anggota polis dan peruntukkan kewangan tidak mencukupi kerana telah digunakan untuk tujuan lain.

Malah siasatan audit juga mendapati kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan kerja penyelenggaraan ke atas sistem ini setiap tiga bulan yang kesemuanya berjumlah 15 kali bagi tempoh Jun 2004-31 Oktober 2008 pada hakikatnya hanya melaksanakan kerja penyelenggaraan sebanyak dua kali sahaja.

Ini berlaku kerana Bahagian Logistik, Cawangan Trafik PDRM mengkehendaki kontraktor mendapatkan kelulusan daripada cawangan itu terlebih dahulu untuk kerja-kerja penyelenggaraan sungguhpun di dalam kontrak tidak menyatakan syarat sedemikian.

Terdapat kes di mana permohonan kontraktor untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan pada sistem tersebut tidak diberikan kelulusan oleh PDRM kerana kekurangan peruntukkan kewangan.

Malah syarat kontrak juga menetapkan kontraktor perlu menjalankan pemeriksaan mingguan ke atas sistem berkenaan bersama-sama dengan anggota polis daripada Unit RLC tetapi pemeriksaan tersebut seringkali gagal dilakukan kerana unit berkenaan kekurangan anggota.

Kontraktor juga menyatakan bahawa mereka lewat atau tidak dapat menjalankan kerja-kerja pembaikan kerana berpunca daripada kesukaran mendapatkan alat ganti. Namun mengikut syarat kontrak adalah menjadi tanggungjawab pihak kontraktor untuk memastikan alat ganti sentiasa ada bagi menyempurnakan kerja-kerja pembaikan.

Jabatan Audit turut mendapati, PDRM juga tidak memantau dengan berkesan kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dijalankan oleh kontraktor.

Pihak Audit mendapati, penyata penyelenggaraan yang telah disediakan oleh kontraktor tidak disahkan oleh Ketua Trafik Kontinjen/Daerah sebaliknya hanya dilakukan oleh anggota Unit RLC.

"Pada pandangan Audit, kegagalan atau kelewatan mengeluarkan saman akibat kegagalan sistem yang digunakan telah menjejaskan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang pematuhan isyarat lampu merah bagi mengelakkan kemalangan di persimpangan jalan," kata laporan tersebut.

Bagi memperbaiki kelemahan tersebut dan memastikan Kerajaan dapat mencapai objektif pemasangan sistem perangkap lampu merah berkamera serta memperoleh value for money, adalah disyorkan supaya Kementerian Dalam Negeri (Kementerian) dan PDRM mengambil tindakan penambahbaikan seperti berikut :-

• Mewujudkan mekanisme untuk mengumpul data mengenai jumlah pelanggaran isyarat lampu merah dan kemalangan di setiap persimpangan jalan yang telah dipasang dengan sistem perangkap bagi tujuan menilai keberkesanan sistem ke arah mencapai objektif perolehannya.

• Memastikan sistem perangkap dipasang di lokasi yang sesuai dan sentiasa berfungsi dengan baik. Bagi tujuan ini, pemantauan yang berterusan hendaklah dibuat bagi memastikan sistem ini disenggara mengikut jadual yang telah ditetapkan dan sebarang kerosakan dibaiki segera. Selain itu, Kementerian/PDRM perlu bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan untuk memastikan aktiviti pembinaan/pelebaran jalan/pembangunan kawasan tidak menjejaskan keberkesanan sistem ini.

• Menyediakan anggota polis yang khusus untuk menguruskan sistem perangkap dan seterusnya memberi latihan kepada mereka untuk mengendalikan sistem khususnya dalam penggunaan filem bagi memastikan tidak berlaku kerosakan rakaman yang akan menjejaskan pengeluaran saman.

• Menentukan norma masa bagi setiap proses yang terlibat dari tarikh kesalahan dilakukan sehingga saman dikeluarkan bagi memastikan tidak ada sebarang kelewatan dalam pengeluaran saman kepada pesalah.

Artikel Berikut

Artikel Lain