suria

Tiga premis perniagaan disamun dua lelaki dalam tempoh tiga jam

KUALA LUMPUR: Dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan barangan dan wang tunai yang kesemuanya dianggar RM100,000 dari tiga premis perniagaan di sekitar ibu negara dalam tempoh tiga jam, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.15 pagi, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan menaiki kereta Proton Waja berwarna perak yang menggunakan nombor pendaftaran palsu menyamun sebuah sekolah memandu di Jalan Pudu di sini dan melarikan RM400.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi berkata sebelum menyamun, suspek mengacukan pistol dan mengarahkan kerani di sekolah itu menyerahkan wang kepada mereka.

Lima belas minit kemudian kedua-dua suspek menyamun pula sebuah premis pengurup wang di Jalan Tun Tan Cheng Lock dan melarikan kira-kira RM70,000.

Kira-kira pukul 12 tengah hari mereka melarikan sebuah motosikal dan beberapa barangan lain dari sebuah kedai menjual motosikal di Taman Seri Sinar, Kepong, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain