suria

Selangor diminta segera warta sumber air mentah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor perlu menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAs) supaya kawasan sumber air mentah diwartakan dengan segera untuk melindunginya daripada pencerobohan yang masih berlaku, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Laporan itu menyatakan pengurusan kualiti air minum di negeri itu adalah memuaskan tetapi pengurusan kualiti air mentah pula perlu dipertingkatkan.

"Status pewartaan adalah tidak memuaskan kerana kawasan lembangan sungai, kawasan tadahan air, tanah perairan atau badan air masih belum diwartakan walaupun LUAS telah ditubuhkan sejak tahun 1999," kata laporan itu.

Kelewatan untuk melindungi kawasan tadahan air telah mengakibatkan pencerobohan seperti aktiviti pengorekan pasir di Sungai Beranang antara 2006 dan 2008 yang mencemari air sungai itu dan pencemaran di muka sauk Sungai Semenyih untuk loji rawatan air Sungai Semenyih.

Berdasarkan, purata Indeks Kualiti Negara, pihak audit berpendapat purata indeks bagi Sungai Tengi di Kuala Selangor dan Sungai Semenyih di Hulu Langat, tidak memuaskan kerana berlaku trend penurunan setiap tahun bermula dari tahun 2006.

Laporan itu juga menyebut bahawa tangki dan kolam imbangan loji pembersihan air Sungai Sireh tidak pernah dicuci melebihi 10 tahun dan mendapati Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAs) kerana tidak melaksanakan urusan cuci kolam dan tangki air pada tahun 2008.

Ia mengesyorkan supaya kerajaan negeri menwujudkan jawatankuasa terdiri daripada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kualiti air seperti LUAS, SYABAS, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan loji rawatan air untuk meningkatkan komunikasi dan koordinasi.

Menurut laporan itu juga, semakan audit terhadap projek tebatan banjir di Shah Alam menunjukkan pengurusan projek itu adalah tidak memuaskan kerana banjir masih berlaku dan memberi kesan negatif kepada penduduk tempatan.

Antara sebabnya adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPs) Selangor tidak membuat perancangan secara menyeluruh termasuk kajian lembangan sungai, peruntukan kewangan yang tidak mencukupi dan tiada pemantaun atau koordinasi dengan agensi dan jabatan kerajaan yang lain selain pelantikan kontraktor yang tidak menepati syarat.

Mengenai Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNs), laporan Ketua Audit Negara itu mendapati berlaku kelemahan daripada segi penguatkuasaan sehingga terdapat pencemaran air dan udara dan kepupusan flora dan fauna.

Kawasan hutan simpanan kekal juga digunakan secara haram untuk binaan penempatan perumahan, bangunan komersial, rumah ibadat, penternakan burung walet dan rusa, dan pemberian hak milik sementara tanah yang belum diwarta.

Pemantauan JPNS terhadap aktiviti pembiakan benih udang di kawasan hutan simpan kekal Sungai Kapar yang menjejaskan kualiti alam sekitar di kawasan itu juga tidak memuaskan kerana kekurangan pegawai penguatkusa dan peruntukan kewangan yang terhad.

Laporan itu juga menyentuh mengenai populasi kelip-kelip di Sungai Selangor di sekitar Kampung Kuantan dan mendapati ia terancam kerana hutang pinggir ditebang untuk pertanian oleh pemilik tanah persendirian.

"Sekiranya kawasan ini tidak dipulihkan, industri pelancongan di sini akan terhapus bersamasama kepupusan kelip-kelip di kawasan tersebut," menurut laporan itu.

Laporan itu mengesyorkan JPNS mengkaji semula permit penggunaan hutan simpan kekal, menambah pegawai penguatkuasa dan memohon peruntukan khas untuk membaik pulih kawasan yang telah dicerobohi.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain