suria

Projek Landasan Berkembar: Ketua Audit Negara kata Kerajaan boleh tuntut pampasan daripada DRB-Hicom

PETALING JAYA: Kerajaan boleh menuntut pampasan daripada DRB-Hicom Bhd ekoran kegagalan syarikat gergasi itu menyiapkan projek landasan berkembar kereta api dari Ipoh ke Rawang, demikian menurut laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2008.

Menurut laporan tersebut, kerajaan kerugian RM1.14 bilion ekoran kegagalan DRB-Hicom menyiapkan projek tersebut selaku kontraktor utama.

Jelas laporan itu lagi, kerajaan berhak menuntut ganti rugi atau pampasan jika kontrak kepada DRB-Hicom, selaku kontraktor utama asal projek itu dibatalkan ekoran kegagalannya menyiapkan pakej tersebut.

Oleh yang demikian, Ketua Audit Negara menegaskan, kerajaan sepatutnya mengemukakan sijil yang menunjukkan dengan jelas jumlah kos yang terpaksa ditanggung dalam usaha untuk menyiapkan projek landasan berkembar itu termasuk jumlah yang terpaksa dibayar kepada kontraktor baru iaitu UEM Construction.

“Sebarang jumlah perbezaan di antara kos untuk menyiapkan projek tersebut dengan kos asal patut dituntut daripada DRB-Hicom, iaitu kontraktor asal projek ini. Dan berdasarkan kiraan Jabatan Audit Negara, kos kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan mencecah kepada RM1.14 bilion,” kata laporan audit tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan tidak mungkin dapat menuntut kos kerugian sepenuhnya memandangkan liabiliti maksimum yang dibenarkan untuk tuntutan hanyalah 10% daripada nilai kontrak.

Sehingga Disember 2008, kos pelaksanaan projek landasan berkembar itu telah meningkat dari RM1.43 bilion kepada RM5.77 bilion. Nilai kontrak asal ialah RM4.34 bilion.

Pemeriksaan Jabatan Audit mendapati, kos projek itu telah melebihi kos asal apabila kerajaan bersetuju untuk membayar RM425 juta kepada DRB-Hicom untuk kerja-kerja pengubahsuian tambahan selepas syarikat itu mengemukakan rayuan dengan beberapa justifikasi kepada pejabat Perdana Menteri. Tuntutan asal DRB-Hicom adalah berjumlah RM808.68 juta.

Kementerian Kewangan kemudiannya bersetuju untuk membayarnya dalam satu persetujuan yang dicapai dengan DRB-Hicom pada 20 April 2006. Sehingga Disember 2008, RM371.78 juta telah dibayar kepada DRB-Hicom.

Artikel Berikut

Artikel Lain