suria

Polis ambil masa kurang sejam selesai kes samun

KUALA LUMPUR: Polis menyelesaikan satu kes samun bersenjatakan parang kurang sejam selepas ia dilaporkan apabila berjaya menahan seorang dari dua suspek di Pandan Indah di sini hari ini.

Polis percaya dengan kejayaan itu dapat menyelesaikan beberapa kes samun yang biasa dilakukan awal pagi di sekitar Ampang Jaya dan Cheras.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata dalam kejadian pada pukul 8 pagi ini, polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta Toyota Camry yang dinaiki suspek berlegar-legar di kawasan Pandan Indah itu.

"Mereka dipercayai akan melakukan satu lagi samun selepas menyamun sebuah rumah dua tingkat di Taman Cempaka, Ampang.

"Kereta peronda yang kebetulan berada berdekatan lokasi terus mengejar kereta suspek sehingga ke Persimpangan Ampang Campuran dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun, manakala seorang lagi melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kereta suspek dipandu melawan arus dan melanggar empat kenderaan awam serta dua kereta peronda polis, menyebabkan seorang anggota polis patah tangan.

Beliau berkata polis menemui dua bilah parang, sebuah televisyen plasma dan beberapa barang berharga yang dipercayai dilarikan dalam kejadian samun pagi ini.

Abdul Jalil berkata hasil semakan juga mendapati kereta yang digunakan mereka adalah milik seorang doktor wanita yang dilapor hilang dalam kejadian samun di Taman Maluri 7 Oktober lepas yang disyaki turut dilakukan keduadua suspek itu.

Dalam kejadian samun di sebuah rumah di Ampang Jaya sebelum itu, dua suspek itu memasuki rumah berkenaan seawal jam 7 pagi dan menyamun keluarga yang sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan sekolah.

Mangsa samun itu mengecam suspek pertama dan barangbarang yang disamun mereka, katanya.

Sementara itu anggota polis yang patah tangan, L/Kpl Mohd Jamal Azraf, 28, berkata ini kali pertama beliau cedera ketika bertugas sepanjang sembilan tahun berkhidmat dalam unit peronda.

"Ketika dimaklumkan, saya dan seorang lagi anggota berada berdekatan dengan kereta suspek dan kami terus mengejar dan mengarahkannya berhenti. Tapi suspek enggan berhenti dan terus melanggar kami, menyebabkan saya terhentak dan patah tangan ini," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain