suria

Orang asli dipenjara 12 tahun bunuh kekasih isteri

TEMERLOH: Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang lelaki Orang Asli selepas mengaku bersalah membunuh seorang penyelia keselamatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mempunyai hubungan sulit dengan isterinya, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu terhadap Mad Noh Ali, 50, selepas tertuduh mengaku bersalah membunuh mangsa Mohamed Dari Abas dengan mencekik dan memukul mangsa sehingga menyebabkan kematian pada 2006.

Pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwaraya Mohd Najmi Daud manakala tertuduh diwakili peguam Ikmal Hisam Idris.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 7.45 pagi, 22 Okt 2006 hingga 7.30 pagi, 4 Nov 2006 telah menyebabkan kematian mangsa, 58 tahun, di Ladang Chuan Leng, di km133 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur.

Peguam tertuduh ketika merayu sebelum hukuman dijatuhkan berkata tertuduh tidak dapat mengawal diri selepas mendapati mangsa sedang melakukan hubungan seks dengan isterinya.

Akhtar berkata mengikut fakta kes tertuduh sememangnya telah merancang apabila menyuruh mangsa menghantar isterinya pulang ke kampung dan mengekori mangsa dengan niat untuk melakukan sesuatu terhadap mangsa kerana tertuduh telah pun mengetahui mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya itu.

Akhtar berkata hukuman itu sebagai pengajaran kepada orang awam agar tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri ke atas kesalahan tertentu.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, merupakan rakan karib mangsa, dijatuhkan hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap, 4 Nov 2006. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain