suria

Majoriti pelajar Universiti Andalas setuju teruskan pengajian di IPTS

SERDANG: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebahagian besar daripada 313 pelajar perubatan Malaysia yang menuntut di Universiti Andalas (Unand) bersedia untuk menyambung pengajian mereka di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini.

"Sebahagian besar daripada mereka (pelajar di Unand) memang ingin menyambung pengajian mereka di negara ini.

"Walaupun kita berpendapat bagi pelajar yang sedang membuat latihan amali (klinikal) sepatutnya tidak ada masalah untuk mereka meyambung pengajian di sana namun semua perkara itu terserah kepada para pelajar tersebut untuk membuat penilaian masing-masing. Mereka sendiri tahu implikasi keputusan yang dibuat itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri pelancaran program ‘Rentas Kampus RTM’ di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Isnin.

Khaled berkata, pihak kerajaan sedia menjadi pemudahcara dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan menyediakan tempat dan pinjaman bagi memudahkan pelajar-pelajar terbabit menyambung pengajian masing-masing di negara ini.

"Saya difahamkan bahawa semua pelajar yang menuntut di Unand mereka telah membayar yuran sebanyak 50 peratus.

"Ini bermakna mereka (pelajar) telah membayar separuh daripada yuran pengajian. Perkara ini tentunya perlu diambilkira apabila mereka membuat keputusan," katanya.

Jelasnya, bagi pelajar yang sedang menuntut di tahun 4 dan 5 mereka sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah kerana mereka hanya menjalani latihan klinikal di hospital.

"Tapi nampaknya mereka mempunyai pandangan yang berbeza dan mereka tidak mahu meneruskan pengajian di sana (Unand).

"Kita juga telah maklumkan bahawa kerajaan telah membenarkan mereka mendapatkan pinjaman RM150,00 maksimum.

"Perkara sebegini (yuran) sudah semestinya membuatkan mereka berada di dalam dilema untuk membuat keputusan segera kerana pihak Unand memberi mereka masa yang suntuk," ujarnya.

Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, pihak IPTS dalam negara memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan berhubung penempatan pelajar-pelajar tersebut.

"Pihak IPTS di sini perlukan masa seminggu dua untuk menilai setiap seorang daripada pelajar ini kerana ketiadaan keputusan peperiksaan pelajar tersebut. Ini kerana pihak kementerian belum mendapat maklumat tersebut (keputusan peperiksaan) daripada pihak Unand.

Ketika ditanya mengenai kedudukan pelajar yang mendapat penajaan daripada agensi lain, Khaled berkata: "Pihak kementerian menyerahkan keputusan tersebut kepada agensi masing-masing.

"Saya difahamkan bahawa skim pinjaman JPA hanya untuk mereka yang menuntut di luar negara maka jika pelajar itu ingin melanjutkan pengajian dalam negara, mereka tidak menyediakan pinjaman tersebut."

"Pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak ada masalah untuk menyediakan pinjaman tersebut dan kita juga bersetuju untuk memberi pinjaman tersebut secara fleksibel. Kita sanggup membiayai apa sahaja kos yang dikenakan oleh IPTS terhadap mereka, tiada had," katanya.

Jelas Khaled, pada kebiasaannya PTPTN hanya memperuntukkan pinjaman sebanyak RM30,000 setahun bagi setiap pelajar perubatan namun dalam konteks ini, jika sesebuah IPTS menuntut lebih daripada jumlah yang diperuntukkan itu maka kementerian akan arahkan PTPTN membayar mengikut amaun yang ditetapkan oleh IPTS terbabit.

Mengenai pemilihan IPTS untuk pelajar-pelajar ini, Khaled berkata pelajar tersebut diberi kelonggaran untuk memilih IPTS yang dikehendaki oleh mereka.

Kabinet Rabu lalu telah membuat keputusan untuk menasihati pelajar-pelajar tahun satu, dua dan tiga pengajian perubatan di Unand supaya meneruskan pengajian mereka di IPTS tempatan. Manakala pelajar-pelajar tahun empat dan lima dan mereka yang sedang menjalani latihan klinikal pula dinasihati supaya menamatkan pengajian mereka di Unand.

Keseluruhannya terdapat 313 pelajar perubatan Malaysia di Unand. Daripada jumlah itu, 16 penuntut sedang mengikuti kursus asasi, tahun pertama (45), tahun kedua (44), tahun ketiga (65), tahun keempat (53), tahun kelima (55) dan klinikal (35).

Sesi temuduga telah pun diadakan pagi tadi dengan kelolaan Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia (JPT) dengan kerjasama IPTS.

Di antara IPTS yang bersetuju untuk menerima pelajar-pelajar Malaysia di Unand ialah International Medical University (IMU), Allianze College of Medical Sciences, University College Sedaya International (USCI), UniKL-Perak Royal College of Medicine, Kolej Universiti Mahsa, Management and Science University (MSU), Melaka Manipal Medical College dan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST).

Rabu lalu, Khaled berkata, pasukan kementerian yang dihantar ke Unand untuk memantau situasi di situ telah mengemukakan laporan penilaian teknikal dan pembelajaran fizikal kepada pihak kementerian.

Tambahnya, pihak JPT juga bersedia membantu pelajar membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman PTPTN.

Bagaimanapun, pinjaman PTPTN itu adalah maksimum sehingga RM150,000 bagi setiap penuntut.

Artikel Berikut

Artikel Lain