suria

Lelaki mati ditetak kumpulan bersenjatakan parang

MIRI: Seorang lelaki ditetak sehingga mati manakala anak lelakinya cedera parah apabila mereka diserang oleh sekumpulan remaja bersenjatakan parang di sebuah restoran di Pujut di sini malam semalam.

Mayat lelaki berusia 49 tahun itu dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk bedah siasat.

Anak lelakinya yang berumur 20 tahun dimasukkan ke wad hospital berkenaan kerana cedera di kepala dan badan.

Ketua Polis Miri ACP Jamaludin Ibrahim hari ini berkata identiti mangsa dan anak lelakinya tidak dapat didedahkan bagi memudahkan siasatan kes pembunuhan itu.

"Ketika ini, mendedahkan nama mereka mungkin menjejaskan siasatan kami," katanya sambil menambah polis mengetahui motif di sebalik serangan itu dan sedang mengesa beberapa suspek.

Jamaludin berkata kedua-dua beranak itu sedang menikmati makan lewat malam di restoran berkenaan kira-kira 11.30 malam apabila mereka diserang. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain