suria

KPT arah Kolej Komuniti segera perbetulkan kelemahan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi telah mengarahkan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti mengambil langkah segera mengatasi segala kelemahan sistem perolehannya sehingga menerima teguran daripada Jabatan Audit Negara dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan semalam.

MStar Online difahamkan, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat pasca kabinet kementerian berkenaan Rabu lalu.

Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2008 yang dikeluarkan kepada umum semalam telah menyenaraikan beberapa kelemahan pada sistem pengurusan perolehan peralatan kursus di kolej-kolej komuniti.

Antara lain laporan audit tersebut menyebut, Kementerian Pengajian Tinggi telah membelanjakan sejumlah RM80.07 juta untuk membekalkan peralatan kursus ke kolej-kolej komuniti bagi tempoh 2006 hingga 2008.

Pengauditan yang dijalankan mendapati beberapa kelemahan dalam pengurusan perolehan peralatan tersebut seperti peralatan yang diperlukan oleh kolej komuniti tidak dibekalkan, peralatan yang dibeli tidak digunakan secara optimum kerana perolehannya melebihi keperluan/tidak diperlukan/tidak sesuai; peralatan lewat dibekalkan oleh kontraktor; peralatan belum diujilari sungguhpun bayaran telah dibuat.

Malah laporan tersebut juga menyebut terdapat peralatan yang diletakkan di tempat yang tidak sesuai/kurang selamat dan penyelenggaraan rekod harta modal juga tidak dibuat dengan lengkap dan tidak kemas kini.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Audit Negara telah mengesyorkan supaya pihak kementerian memberi pertimbangan kepada perkara-perkara berikut :-

• Kementerian hendaklah memastikan peralatan yang dibeli adalah bersesuaian dengan kursus. Bagi tujuan ini, pandangan daripada pensyarah yang berkenaan hendaklah diperoleh sebelum perolehan dibuat. Bagi kes di mana peralatan gagal dibekalkan oleh pembekal, Kementerian perlu mengambil tindakan segera untuk mendapatkan peralatan tersebut dengan melantik pembekal baru. Manakala bagi peralatan yang melebihi keperluan pula, agihan boleh dibuat kepada kolej komuniti lain yang memerlukan peralatan tersebut.

• Kementerian perlu mengambil tindakan bagi memastikan baki peralatan yang masih belum diterima oleh kolej komuniti terlibat dibekalkan oleh pembekal dengan segera.

• Kolej komuniti yang terlibat perlu segera mengemukakan permohonan peruntukan kewangan kepada Kementerian untuk meningkatkan tahap keselamatannya. Kolej komuniti juga perlu peka tentang keperluan menempatkan peralatan kursus yang sensitif di tempat yang sesuai serta bagi peralatan tertentu yang memerlukan perakuan dari Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, kelulusan yang sewajarnya perlu segera diperoleh.

• Rekod harta modal perlu diselenggarakan dengan lengkap, kemas kini dan teratur bagi memudahkan rujukan. Rekod ini juga hendaklah disemak oleh pegawai yang bertanggungjawab dari semasa ke semasa dan digunakan untuk tujuan pemeriksaan fizikal peralatan.

• Kementerian hendaklah menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada bayaran yang telah dibuat adalah disokong dengan baucar bayaran dan ada dokumen sokongan. Sekiranya berlaku penyelewengan, tindakan disiplin atau surcaj hendaklah diambil terhadap pihak yang terlibat.

• Latihan hendaklah diberi kepada pegawai yang terlibat dengan urusan perolehan dan penyelenggaraan rekod harta modal khususnya di peringkat kolej komuniti.

Artikel Berikut

Artikel Lain