suria

Kerajaan sedia kaji kembalikan caruman KWSP pekerja kepada 11 peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mengkaji cadangan supaya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali kepada 11 peratus berkuat kuasa serta merta sekiranya ia merupakan keputusan majoriti pekerja di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kalau perkara itu dikemukakan, kerajaan akan teliti. Apa yang penting untuk kebaikan kepada pekerja kerana potongan bukan dibuat daripada sumber lain tetapi daripada pendapatan dan gaji mereka, itu kita kena ambil kira... kerajaan akan timbang ikut kehendak majoriti," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini, Muhyiddin bagaimanapun berkata setakat ini beliau tidak pasti sama ada cadangan itu telah dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan atau tidak.

Semalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan supaya membenarkan 2.2 juta pekerja yang memilih potongan lapan peratus bagi caruman KWSP untuk kembali kepada 11 peratus berkuat kuasa serta merta.

Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam berkata kongres itu prihatin dengan 2.2 juta pekerja kerana mereka kini kerugian dalam bentuk dividen dan bayaran akhir apabila mereka mencapai umur persaraan.

Berikutan krisis ekonomi, pada November lepas, kerajaan membenarkan para pekerja untuk memilih sama ada kekal dengan caruman 11 peratus atau mengurangkannya sebanyak tiga peratus kepada lapan peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Jan tahun ini.

Menurut KWSP, sejumlah 2.2 juta atau 40 peratus daripada pekerja memilih untuk mengurangkannya kepada lapan peratus. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain