suria

Jangan pertikai jika budaya rakyat Malaysia dan Indonesia bertindih - Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata aspek kebudayaan, bahasa dan seni antara Malaysia dan Indonesia adalah serupa sejak dahulu lagi kerana penduduk kedua-dua negara adalah daripada rumpun Melayu.

Untuk itu mana-mana pihak di Malaysia dan Indonesia tidak boleh mempertikaikan jika terdapat persamaan budaya antara rakyat keduadua negara kerana masing-masing mempunyai talian darah dan sejarah, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan 19 wartawan dari Bukit Tinggi, Padang, Indonesia di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau memberi contoh mengenai tarian kuda kepang di Johor yang sama dengan tarian kuda kepang di Jogjakarta.

"Ini bukan ciplak," katanya.

Rais berkata jika ada pihak di Malaysia dan Indonesia yang berfikiran sempit mengenai perkara itu, ia sebenarnya merugikan rakyat kedua-dua negara berkenaan, dan mereka ini perlu diasuh.

"Menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) kita akan gemblengkan tenaga untuk mencantumkan budaya rakyat keduadua negara ini," katanya.

Rais berkata pihaknya juga akan mengadakan kerjasama dengan pemerintah Indonesia bagi mewujudkan program budaya setiap tahun, yang akan diadakan secara berselang-seli di sini dan di Sumatera Barat.

Ditanya mengenai konsert penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Beyonce Knowles yang dijadualkan Sabtu ini tetapi ditunda ke tarikh lain, beliau berkata tiada sebab untuk menghalang penyanyi itu mengadakan persembahan di negara ini jika beliau mematuhi syarat dan peraturan.

"Saya fikir ada halhal lain yang mereka tidak ceritakan...terserah kepada pihakpihak berkenaan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain