suria

Anggota Parlimen Sabah dan Sarawak sambut baik Hari Malaysia

KUALA LUMPUR: Rata-rata anggota Parlimen khususnya bagi Sabah dan Sarawak menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hari ini mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia.

Bagi anggota Parlimen Beaufort yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin, beliau menyifatkan keputusan itu akan memberikan kegembiraan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

"Memang itu adalah satu pengiktirafan dan sebagai satu penghargaan kepada pemimpinpemimpin Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam rundingan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Hari Malaysia adalah untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963 dianggotai Semenanjung Tanah Melayu (Malaya), Sabah, Sarawak dan Singapura.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin juga menyifatkan bahawa ia satu penghormatan kepada Sabah dan Sarawak.

"Maka sempena dengan kewujudan 1Malaysia itu, wajarlah kita menerima baik keputusan daripada Perdana Menteri iaitu mengiktiraf 16 September itu sebagai hari yang bersejarah bagi negara kita.

"Sebenarnya semuanya ini memerlukan mekanisme yang baik sebab kita terlalu banyak cuti awam. Walaupun lambat, tetapi memadailah kerana sekurang-kurangnya kerajaan telah membuat keputusan," katanya.

Anggota Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata kerajaan telah mengambil satu keputusan yang mengira kepentingan dan suara rakyat.

"Saya ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan cuti umum untuk Hari Malaysia iaitu 16 September," katanya.

Anggota Parlimen Petra Jaya yang juga Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof pula menyifatkan pengumuman Najib itu sebagai satu hadiah yang besar buat Sabah dan Sarawak

"Selama ini telah dikemukakan dan disuarakan kepada kerajaan untuk kita mengingati sejarah penubuhan Malaysia. Ini akan mengingatkan kita kewujudan tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung bergabung membentuk Malaysia.

"Kita bersyukur di bawah kepimpinan Perdana Menteri telah membuktikan bahawa beliau mendengar dan melaksanakan apa yang dijanjikan sesuai dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat yang juga anggota Parlimen Santubong Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia satu penghormatan yang besar kepada Sabah dan Sarawak.

"Hari ini telah dilupakan kerana kita hanya mengingat hari kemerdekaan Tanah Melayu. Kita di Sabah dan Sarawak menyanjung tinggi penghormatan yang diberikan oleh Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata beliau turut menyambut baik keputusan itu.

Beliau meminta semua majikan menghormati keputusan itu.

Katanya, mana-mana majikan yang enggan memberikan cuti kepada pekerjanya atau enggan membayar kadar bayaran yang setimpal apabila diminta bekerja pada hari tersebut akan dikenakan tindakan.

"Pekerja yang tidak menerima bayaran yang setimpal boleh melaporkan kepada kementerian mengenai hal itu," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain