suria

Remaja dijatuhi hukuman 150 jam khidmat komuniti

KANGAR: Seorang remaja hari ini dijatuhi hukuman 150 jam khidmat komuniti dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Trafik di sini selepas mengaku salah atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada seorang anggota polis trafik.

Keputusan dibuat Majistret Mohd Fadhly Yaacob, selepas mengambil kira kesalahan dilakukan Aizat Ahmad Suki, 21, dari Jalan Sekolah derma, di sini, 5 Ogos 2007, yang dianggap serius.

"Kesalahan dilakukan kamu serius kerana melanggar anggota polis yang sedang bertugas. Kalau tidak ambil kira umur kamu 19 tahun ketika itu (kejadian) kamu sudah pasti dipenjara atau didenda," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan bapa remaja itu menyediakan bon RM5,000 sebagai jaminan tertuduh berkelakuan baik selama tempoh setahun.

Aizat yang diwakili peguam Pyara Singh ketika membuat pengakuan bersalah berkata beliau insaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Pyara kemudiannya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman khidmat komuniti ke atas tertuduh mengikut peruntukan Seksyen 293(e) Kanun Keseksaan demi masa depan tertuduh.

Mengikut fakta kes, Aizat dituduh menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, dengan melanggar Lans Koperal Idris Mat Saad menyebabkan mangsa mengalami patah tangan dan dirawat di hospital selama 10 hari.

Ketika kejadian itu, polis trafik melancarkan Ops Cegah Lumba Haram di Jalan Jubli Emas, di sini pada 5 Ogos 2007.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Amir Irwan Yaakop, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BERNAMA

Artikel Lain