suria

Dua terbunuh, satu cedera parah diserang selepas Majlis Deepavali

KUALA LUMPUR: Dua lelaki terbunuh dan seorang lagi cedera parah akibat diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang selepas mereka menghadiri rumah terbuka Deepavali di Flat Desa Puteri, Sri Petaling, awal pagi tadi.

Kejadian pukul 1 pagi itu berlaku ketika kedua-dua lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakan mereka sedang minum di bawah pokok berhadapan dengan flet itu.

Mangsa, S. Chaudry, 32, tahun ditemui mati di persimpangan jalan kira-kira 500 meter dari tempat kejadian manakala seorang lagi, B. Gunalan, 23, mati di sebuah bilik milik saudaranya di flat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata siasatan awal polis mendapati punca kejadian bermula apabila tiga lelaki menaiki tiga buah motosikal membuat bising dengan membunyikan enjin motosikal masing-masing sehingga mengganggu Chaudry bersama rakan-rakannya.

"Berlaku pergaduhan mulut antara dua kumpulan ini sebelum kumpulan lelaki bermotosikal itu beredar meninggalkan tempat tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata tidak lama kemudian, kumpulan lelaki bermotosikal itu datang kembali ke tempat kejadian dengan bersenjatakan parang bersama dua lagi rakan yang lain.

"Berlaku pergaduhan antara mereka dan mangsa ditetak dengan kejam dan terdapat kesan-kesan pergaduhan seperti botol-botol pecah dan tompokan darah di tempat kejadian," katanya.

Chaudry dan rakannya dipercayai cuba melarikan diri setelah ditetak untuk mendapat bantuan, namun kecederaan parah yang dialami menyebabkan kedua-dua mereka gagal diselamatkan, katanya.

Ahmad Amir berkata susulan daripada kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an, dipercayai seorang daripada mereka yang terlibat dalam pergaduhan bagi membantu siasatan.

"Polis menemui sebuah motosikal yang ditinggalkan di tempat kejadian dan berdasarkan daripada nombor pendaftaran kita berjaya mengesan pemilik motosikal tersebut yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu," katanya.

Polis bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata tajam di tempat kejadian yang digunakan suspek untuk memukul mangsa dan sedang memburu empat lagi rakannya yang melarikan diri.

Menurutnya, mayat kedua-dua lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat termasuk seorang lelaki cedera parah, yang belum dikenal pasti identitinya.

Ahmad Amir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain