suria

PM: Tiada sebab bagi pembangkang ganggu sidang DUN Perak

IPOH: Wakil rakyat pembangkang di Perak tidak mempunyai sebab untuk menggangu perjalanan persidangan dewan undangan negeri (DUN) Perak yang dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini kerana persidangan DUN itu dibuat mengikut peraturan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang sah di sisi undang-undang.

"Walaupun juga ada proses (undang-undang) yang belum selesai tetapi mesti hormati keluhuran perlembagaan negara dan ini sudah ditentukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Umno Perak di Bangunan Umno Perak di sini hari ini.

"Jadi tidak ada sebab mengapa patut dilakukan sebarang gangguan atau perbuatan yang boleh menimbulkan satu keadaan yang tidak begitu baik dari segi pandangan umum terhadap politik di negeri Perak ini," tambahnya.

Beberapa hari lepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh V.Sivakumar yang masih mengaku diri sebagai Speaker DUN Perak, mengeluarkan satu kenyataan media yang mengatakan beliau sudah mengeluarkan notis memanggil sidang DUN kepada 49 ADUN pada tarikh itu, sedangkan Speaker DUN Perak Datuk R.Ganesan sudah mengeluarkan notis yang sah lebih awal.

Najib seterusnya mengingatkan pemimpin pembangkang di Perak bahawa pertukaran kerajaan negeri Perak pada bulan Februari lepas adalah disebabkan oleh 'permainan' yang dimulakan oleh pihak pembangkang sendiri.

Sementara itu Najib yang juga Presiden Umno menjelaskan bahawa perjumpaan tertutupnya dengan pemimpin Umno Perak hari ini merupakan satu perjumpaan susulan daripada perhimpunan agung Umno yang berakhir Jumaat lepas di mana beliau menegaskan mengenai beberapa perkara dalam bentuk tindakan yang boleh diterjemahkan pada peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

"Apa yang mereka patut lakukan, sesuai dengan tema ucapan saya 'Menjunjung tradisi, menzahirkan perubahan'. Apa bentuk perubahan yang patut ditampilkan oleh pimpinan Umno di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, itulah tujuannya (perjumpaan tertutup)," katanya.

Katanya beliau turut melancarkan lagu Umno Perak pada perjumpaan tertutup itu, yang pada pandangannya merupakan satu suntikan semangat kepada semua anggota Umno di Perak.

Lagu Umno Perak bertajuk 'Bersetia, Berjuang, Berbakti' itu merupakan gubahan bekas pemimpin Orkestra RTM Datuk Ahmad Dasilah manakala senikatanya oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain