suria

Perompak larikan barang kemas bernilai RM3 juta

KUALA LUMPUR: Sekumpulan perompak mengambil kesempatan sempena cuti perayaan Deepavali dengan memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Masjid India di sini dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM3 juta, awal pagi ini.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 12 tengah malam dan 7 pagi, di kedai emas itu yang terletak bersebelahan dengan stor sebuah pasaraya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi berkata kejadian itu disedari seorang pekerja wanita pasaraya tersebut pada pukul 9.15 pagi ini, yang mendapati dinding stor pasaraya itu yang diperbuat daripada papan lapis bersebelahan dengan kedai emas itu telah pecah.

Sebaik menyedari kejadian itu, beliau berkata wanita berkenaan memaklumkan kepada penyelia pasaraya sebelum menghubungi polis.

Siasatan awal polis mendapati suspek telah memecahkan pintu belakang stor tersebut sebelum menebuk dinding dengan menggunakan alatan khas seperti cecair asid dan alat pengimpal berdasarkan penemuan barangan itu di dalam kedai, katanya.

Selain melarikan barang kemas dalam almari pameran, difahamkan suspek turut melarikan barang kemas dalam peti besi dan pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai itu turut dilarikan.

Ku berkata polis tidak menolak kemungkinan rompakan tersebut dilakukan oleh orang yang mempunyai pengetahuan mengenai selok-belok stor pasaraya dan kedai emas itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain