suria

Rumah Terbuka perayaan jadi penanda aras perpaduan kaum

KUALA LUMPUR: Amalan Rumah Terbuka sempena sambutan perayaan seperti Deepavali mampu menjadi penanda aras kepada perpaduan kaum di negara ini selaras gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

Pemimpin pelbagai parti komponen Barisan Nasional, yang ditemui ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, bersetuju perpaduan kaum memang wujud jelas di negara ini berdasarkan kehadiran pada majlis rumah terbuka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika ditemui pemberita berkata beliau seronok dengan semangat perpaduan yang ditampilkan seperti ketika sambutan Deepavali apabila masyarakat bukan penganut Hindu turut sama memeriahkan sambutan perayaan itu.

"Saya berasa seronok hari ini, saya dapat nampak semangat 1Malaysia ini hidup di kalangan masyarakat di negara ini.

"Jadi ini satu budaya yang sangat baik dan perlu kita kekalkan," katanya.

Ditanya tentang perpaduan di kalangan parti dan anggota Barisan Nasional (BN), Najib menegaskan semuanya berada dalam keadaan baik.

"Semuanya baiklah...Cuma ada masalah dalaman sedikit, ia (parti-parti komponen terbabit) kena selesaikan cepatlah," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata semangat Deepavali dapat mengukuhkan kerjasama, perpaduan, menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada warisan Malaysia.

"Kita harap dapat pupuk semangat 1Malaysia dan jelas terbukti di sini semua kaum dapat merayakan dalam semangat itu (semangat perpaduan)," katanya.

Muhyiddin juga berharap parti komponen BN lain akan menyemarakkan semangat baru di kalangan anggotanya seperti anggota Umno, yang dilihat bersemangat tinggi selepas berakhirnya perhimpunan agung parti itu Jumaat.

"Mereka balik dengan semangat baru, lebih tinggi, lebih bertenaga untuk memikul amanah dan kita harap semangat itu dapat disemarakkan dalam komponen parti BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan kita dapat tingkatkan lagi sokongan dan keyakinan rakyat kepada kita.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata sambutan Deepavali kali ini banyak membawa kebaikan kepada masyarakat berketurunan India selain memupuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum untuk terus sejahtera dan makmur.

Ditanya mengenai semangat baru dalam Umno, Shafie berkata beliau yakin ia mampu menyemarakkan semula perjuangan Umno di semua peringkat.

Katanya perhimpunan agung kali ini ada kelainan dari segi semangat dan menzahirkan semangat baru di kalangan anggota Umno.

"Saya yakin, semua perwakilan dan pemerhati yang hadir (pada perhimpunan), bila turun ke bawah (akar umbi) akan dapat membantu untuk membakar semangat kita.

"Yang kita perlukan ialah mereka (perwakilan dan pemerhati) menerap dan menterjemah apa yang dicapai di perhimpunan kali ini," katanya.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perayaan Deepavali itu boleh mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan rakyat terutama bagi menghadapi cabaran perpaduan masyarakat di negara ini.

"Hari ini kita meraikan Deepavali dengan meriah dan masyarakat berbilang-bilang kaum dapat bersama-sama meningkatkan semangat perpaduan sesama mereka dan semangat ini perlu diteruskan serta dikukuhkan.

"1Malaysia adalah satu konsep, perkara yang perlu kita tekankan dan apa yang saya lihat pada hari ini, semangat ini telah dapat diterima dengan begitu baik oleh semua lapisan masyarakat, semua dapat menerima dengan penuh dan kita yakin melalui semangat ini dapat mengukuhkan semangat perpaduan di negara kita," katanya sambil menegaskan soal perpaduan negara tidak boleh dipandang remeh.

Perpaduan cukup penting bagi kestabilan dan kemajuan negara seterusnya membolehkan masyarakat dan negara menghadapi cabaran yang mendatang terutama di peringkat global, " katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain