suria

Pelan tindakan perkukuhkan Umno akan dilaksanakan segera

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan tindakan untuk memperkukuhkan parti itu akan dilaksanakan segera.

Menurut Muhyiddin, perkara tersebut telah dipersetujui dalam ‘retreat’ Umno di Janda Baik, baru-baru ini.

“Semua Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri telah pun menggariskan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Badan perhubungan Umno negeri telah mempunyai perancangan dan pelan tindakan yang akan disusul bukan sahaja di peringkat negeri malah ia juga akan dilaksanakan di peringkat bahagian dan cawangan merangkumi penyertaan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya ketika sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Jelasnya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno, beliau akan turun padang untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat negeri dan bahagian untuk melihat dengan lebih dekat komitmen yang telah dibuat oleh mereka.

“Kita telah menyatakan kesediaan kita untuk berubah dan kita perlu cepat melakukannya kerana masa tidak akan menyebelahi kita. Cuma yang menjadi persoalannya ialah siapa yang akan menilai kita. Jawapannya sudah pasti rakyatlah yang akan menilai perubahan itu.

“Oleh sebab itu, di peringkat Jawatankuasa Pengurusan kita telah berbincang mengenai gerak kerja untuk memulakan langkah membawa perubahan kepada parti,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu telah pun mengenalpasti langkah-langkah tertentu yang akan diambil untuk menangani isu-isu yang menjadi masalah di setiap negeri.

“Sasaran yang penting sekarang ialah bagaimana kita dapat memastikan kawasan yang kita kuasai hari ini akan terus kekal dan sokongan kita ditempat tersebut dapat diperkukuhkan pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Kesatuan ahli parti di peringkat negeri, bahagian dan parti-parti komponen Barisan Nasional merupakan faktor utama yang dapat membantu parti meraih sokongan lebih besar daripada rakyat,” katanya.

Justeru itu, Muhyiddin menegaskan insiatif untuk memupuk perpaduan yang jitu dikalangan pemimpin- pemimpin Umno di peringkat bahagian perlu segera dilaksanakan.

“Antara faktor kekalahan ialah kerana ketiadaan semangat kesatuan dan perpaduan, kalau pun ada ia sangat terhad.

“Kita perlu segera mencari titik permulaan untuk membawa perubahan terutamanya dalam memupuk semangat perpaduan yang jitu bagi meletakkan asas yang kukuh dalam melaksanakan perubahan yang dimahukan itu.

“Perubahan tidak akan berlaku kalau kita berbalah dan wujud ‘puak-puak’ dan ‘team-team’ tertentu sesama kita,” katanya.

Selain daripada itu, Muhyiddin berkata, untuk melaksanakan perubahan tersebut pemimpin-pemimpin Umno perlu mempunyai kesedaran dan bermuhasabah mencari kelemahan diri disamping segera meninggalkan sikap-sikap negatif yang akan hanya menghancurkan parti.

“Oleh kerana kita berada dalam sindrom selesa yang agak lama maka kita tidak ada mempunyai ‘sense of urgency’ dalam melaksanakan perubahan tersebut,” katanya.

Tegasnya, pelan tindakan yang hendak dilaksanakan di semua peringkat itu akan diperhalusi dengan mengaturkan gerak kerja dan menganjurkan lebih banyak program-program bersama rakyat.

“Kita perlu segera melaksanakan program berkesan kepada rakyat agar kita dilihat sudah mula melakukan perubahan dan diterima baik oleh masyarakat.

“Pimpinan Umno di semua peringkat perlu melakukan tinjauan dan mencari apa yang dimahukan oleh masyarakat di tempat kita agar masyarakat melihat kesan yang menyeluruh daripada apa yang kita lakukan.

“Jika kita dapat melakukan perubahan ini, insya-Allah saya yakin masyarakat akan dapat menilai dan melihat perubahan yang berlaku hingga di peringkat bawahan,” katanya.

Oleh yang demikian, Muhyiddin menyeru semua pemimpin parti di semua peringkat untuk sama-sama bekerja keras memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan kelangsungan Umno sebagai parti teras yang menerajui Barisan Nasional (BN) dan untuk mengekalkan kuasa di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain