Najib berjaya yakinkan perwakilan - Abdullah - Semasa | mStar

Najib berjaya yakinkan perwakilan - Abdullah

KUALA LUMPUR: Mantan Presiden Umno Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan ucapan penggulungan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini hari ini sebagai amat meyakinkan dan menaikkan semangat perwakilan.

Beliau berkata Najib berjaya meyakinkan perwakilan termasuk ketua-ketua Umno bahagian, anggota majlis tertinggi, angkatan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bersama-sama dalam menjayakan langkah-langkah baru bagi perubahan parti itu, terutama yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

"Apa yang penting perwakilan yang ada di sini mesti menyampaikan mesej itu kepada semua yang ada di kawasan dan bahagian masing-masing.

"Kalau setakat mereka sahaja yang memberi pengakuan tapi mereka tak bawa mesej itu balik ke bahagian masing-masing, tidak akan ada perubahan di peringkat bawah," katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan perbahasan usul ucapan dasar presiden di akhir perhimpunan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Abdullah menghadiri perhimpunan hari ini sebagai Ketua Umno Bahagian Kepala Batas dan duduk di kerusi perwakilan.

Kehadiran beliau mencuri perhatian perwakilan dan barisan pemimpin tertinggi Umno dan diberi tepukan penghormatan oleh mereka yang berada di dalam dewan.

Abdullah berkata hari ini Najib mengukuhkan lagi ucapan dasar yang disampaikannya semalam dan menyeru perwakilan supaya melakukan perubahan minda serta sikap, dan melaksanakan janji yang dibuat kepada presiden parti.

"Kalau mereka benar-benar melaksanakan apa yang dijanjikan kepada presiden, InsyaAllah akan ada kejayaan," katanya.

Beliau berkata kelulusan pindaan perlembagaan parti itu yang diterima sebulat suara semalam turut membuktikan bahawa anggota Umno bersedia menerima perubahan yang disarankan dan mempunyai satu idea dan satu tujuan yang sama. BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain