suria

Wakil Umno Johor cadang kembali laksanakan IKH

KUALA LUMPUR: Wakil Pergerakan Umno Johor, Datuk Shamsol Bari Jamali mencadangkan agar kerajaan kembali melaksanakan Indeks Kualiti Hidup (IKH) kerana ia dapat memenuhi prinsip keadilan sosial di negara ini.

“Umno Johor menganjurkan agar kerajaan memberikan tumpuan untuk membawa kesejahteraan kepada majoriti yang lemah dan bukan kepada minoriti yang kuat.

“Bantuan dan sokongan kepada golongan miskin yang ramai mestilah ditingkatkan daripada melonggokkan kemewahan kepada golongan yang sudah pun meraih kekayaan,” katanya dalam sesi perbahasan menyokong Usul Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Menurutnya, IKH yang sebelum ini pernah digunakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) mampu menjadi kayu pengukur kepada kesejahteraan rakyat terutamanya dalam soal pendapatan dan pengagihan kekayaan mengikut komposisis kaum di negara ini.

“Kami berpendapat dengan pelaksanaan dan penggunaan IKH ini dapat kita pastikan berlakunya keadilan ke atas semua golongan dan berupaya mengelakkan penindasan serta kezaliman terhadap mana-mana kaum di negara ini,” katanya.

Jelas Shamsol, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah berlandaskan prinsip keadilan sosial.

“Komitmen Umno memperjuangkan semua kaum sebenarnya merupakan landasan yang utuh kepada perpaduan negara.

“Kita turut menolak andaian gagasan 1Malaysia dengan konsep Malaysian Malaysia kerana pada hakikatnya Malaysian Malaysia yang berpaksikan kepada kesamarataan akan menjurus kepada ketidakadilan sosial dalam konteks Malaysia.

“Pada realitinya, pendukung gagasan Malaysian Malaysia itu sentiasa membuat tafsiran penuh prasangka dan serong terhadap peruntukkan Perlembagaan sedia ada,” katanya.

Tambahnya, tafsiran tersebut telah diselewengkan oleh pihak tertentu hingga menjadi punca timbulnya prasangka dan ketidakadilan berlaku pada pihak yang lain sedangkan hakikatnya pihak yang berprasangka ini menikmati kemewahan tanpa batasan.

“Sesungguhnya kesamaratan yang kononnya menjadi isi kepada gagasan Malaysian Malaysia tidak akan membawa makna kewujudan keadilan bagi seluruh bangsa Malaysia malahan ia boleh menjurus kepada kezaliman hak yang sah dalam undang-undang yang telah dicabul dan dinafikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Sebab itulah gagasan 1Malaysia akan menjadi penawar kepada racun yang terkandung dalam gagasan Malaysian Malaysia sehingga berlakunya kezaliman kepada golongan Bumiputera.

“Namun dalam usaha mencapai gagasan 1Malaysia, kita tidak harus terperangkap dan terjebak dengan andaian kita akan terus bertolak ansur,” katanya.

Justeru, segala bentuk kompromi, akomodasi dan tolak ansur ini mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan kedaulatan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan agar keyakinan orang Melayu dan Bumiputera terhadap Umno sebagai pelindung bangsa akan kekal sampai bila-bila.

Artikel Lain