suria

Umno boleh berubah jika sebulat suara ingin pinda perlembagaan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menganggap Umno tidak akan berubah selagi belum mencapai keputusan sebulat suara bagi meminda perlembagaan parti penuh kekeluargaan dan keinsafan.

“Saya terpegun, bukan sahaja pindaan ini disokong oleh Datuk Shahril Samad, sahabat saya, Datuk Syed Ali Alhabshee, dan Datuk Ali Che Mat malah dapat dicapai dengan mudah, cepat dan kata suara membuktikan kepada rakyat di luar sana bahawa Umno akan berubah,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Dasar Presiden, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri ini, beliau bangga dan terharu dengan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berani untuk meminda perlembagaan parti.

“Secara fitrahnya, bukan mudah bagi mana-mana pemimpin yang bersetuju untuk mengubah satu sistem di kedudukan tersebut.

"Kita tunaikan agenda perubahan kerana sedar dan insaf bahawa yang penting bukan diri tetapi survival parti keramat ini. Yang pertama bukan hanya tentang diri sendiri tetapi bagaimana mahu memastikan parti terus relevan.

"Perubahan ini jelas terzahir dari keikhlasan, ketulusan hati dan jiwa besar yang dimiliki tuan puan semua untuk Umno terus mendapat sokongan rakyat dan terus berada di politik tanah air," katanya.

Hishammuddin mengakui semua itu berlaku atas dorongan, tiupan semangat, karisma, gaya kepimpinan dan wawasan yang ditonjolkan oleh presidennya.

"Kita akan terus mengorak langkah bagi memastikan transformasi ini dapat diteruskan dan dimajukan pada masa akan datang. Kita akan pikul amanah ini dan melihat tata etika ahli dan melihat kedudukan lembaga disiplin bagi memastikan apa yang diputuskan mencapai matlamat," katanya.

Artikel Lain