suria

Polis giat buru anggota geng samun bersenjata

PULAU PINANG: Setelah tumpasnya seorang wanita Thailand anggota satu kumpulan penjenayah di Bukit Mertajam pada Selasa lepas, polis sedang giat memburu empat lagi lelaki rakannya yang dianggap sangat berbahaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC II Wan Abdullah Tuanku Said berkata anggota-anggota kumpulan itu, yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata api, pengedaran dadah, penculikan dan samun bersenjata api, dipercayai masih berada di Pulau Pinang.

"Polis akan mengedar gambar wajah empat lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun minggu depan bagi membolehkan usaha mengesan kesemua penjenayah dapat dilakukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Abdullah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu supaya menghubungi manamana balai polis secepat mungkin kerana mereka sangat berbahaya.

Dalam kejadian Selasa lepas, wanita warga Thailand berusia 34 tahun itu dan amat dikehendaki polis, mati selepas berbalas tembakan dengan polis.

Siasatan mendapati kumpulan dianggotai wanita berkenaan terbabit dalam beberapa kes jenayah di Pulau Pinang serta di Kedah dan mereka sanggup melakukan apa saja termasuk membunuh.

Wan Abdullah berkata wanita berkenaan adalah teman wanita kepada ketua kumpulan berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain