suria

Pemansuhan kuota bukti keberanian Umno

KUALA LUMPUR: Umno berjaya menzahirkan keberaniannya dengan membuat satu perubahan besar dari segi perlembagaannya apabila bertindak menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan jawatan dalam parti.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, perubahan yang dilakukan Umno dengan menggubal beberapa perlembagaan dalam parti merupakan keputusan paling radikal dalam sejarah penubuhannya.

"Perhimpunan kali ini membuat satu perubahan dari segi perlembagaannya dan perubahan perlembagaan kali ini adalah yang paling signifikan, paling radikal dan paling besar yang pernah dilakukan dalam sejarah parti.

"Kali ini kita mengambil keputusan untuk menghapuskan sistem kuota sama sekali dalam Umno dan sistem kuota yang kita hapuskan ini bukan hanya untuk jawatan Ketua Bahagian sahaja malah untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan juga ahli Majlis Tertinggi (MT)," katanya semasa menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Umno ke-60 di sini hari ini.

Jelas Najib, penghapusan sistem kuota di semua peringkat jawatan dalam parti juga menunjukkan kesungguhannya yang mahukan Umno benar-benar berubah.

"Tidak adil kalau sistem kuota bagi Ketua Bahagian sahaja dihapuskan tapi di peringkat tertinggi tidak dihapuskan... ia seolah-olah menunjukkan kita hendak berselindung di sebalik kuota.

"Jadi apabila dibincangkan dalam mesyuarat biro politik, saya dan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata kami rela untuk tidak berselindung di sebalik sistem kuota," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, beliau menyerahkan nasibnya kepada rakyat untuk menilai prestasinya sebagai pemimpin.

"Memang ada yang tanya saya, sama ada saya tidak takut mengenai kedudukan jawatan saya nanti, tapi saya kata perisai saya ialah ahli Umno semua sekali.

"Kalau saya seorang Presiden yang bekerja dengan baik, dapat berkhidmat kepada parti, dapat jadi juara kepada rakyat... maka nasib saya diserahkan kepada semua ahli Umno untuk tentukan," katanya dan disambut dengan tepukan gemuruh oleh para perwakilan.

Katanya lagi, seseorang pemimpin itu akan terus memberi khidmat selagi khidmatnya diperlukan oleh rakyat.

"Kita nak berkhidmat selagi khidmat kita masih diperlukan dan khidmat kami akan diperlukan jika dapat membawa perubahan dan menentukan keberhasilannya," katanya

Artikel Lain