suria

KPI untuk pemimpin MIC

KUALA LUMPUR: MIC akan melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ke atas semua pemimpinnya, terutamanya 3,600 pengerusi cawangan menjelang tahun depan untuk menilai prestasi mereka, kata Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Beliau berkata walaupun inisiatif KPI diilhamkan beberapa tahun lepas, ia tidak dapat dilaksanakan, "tetapi kini ia menjadi perlu untuk memastikan parti diuruskan dengan lebih efektif, terutamanya di peringkat akar umbi".

Katanya peranan pengerusi cawangan amat penting kerana parti bergantung kepada mereka untuk melaksanakan pelbagai dasar dan program di peringkat akar umbi.

"Pengerusi cawangan akan dinilai setiap tiga bulan," katanya di sini.

Beliau berkata KPI juga akan diguna pakai ke atas pemimpin tinggi parti dan wakil rakyat secara berperingkat.

"Kami mahu tahu tahap hubungan mereka dengan rakyat dan bagaimana prestasi mereka," katanya dan menurutnya pasukan pemantau akan ditubuhkan di ibu pejabat MIC.

Samy Vellu juga berkata MIC akan menganjurkan bengkel kepimpinan untuk hampir 150 pemimpin bahagian parti pada 15 Nov tahun ini diikuti dengan siri mesyuarat dengan ketua negeri dan cawangan di seluruh negara.

"Kali ini, kami juga akan menjemput pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mesyuarat itu kerana mereka merupakan rakan dalam kerja sosial kami," katanya.

Beliau berkata parti melaksanakan proses transformasi sejak pilihan raya umum lepas bermula dengan penjenamaan semula dan diikuti pindaan terhadap perlembagaannya bulan lepas.

Pindaan itu termasuk mengehadkan penggal presiden parti dan pemimpin bahagian kepada hanya sembilan tahun atau tiga penggal dan mengurangkan jumlah anggota sebelum sesebuah cawangan boleh ditubuhkan, daripada 100 sebelum ini kepada 60.

Samy Vellu berkata anggota baru boleh mendaftar secara online melalui portal MIC dan tidak lama lagi mungkin melalui SMS.

"Kami sedang melakukan banyak perubahan dan lebih banyak lagi akan dilakukan bagi memperkukuhkan parti kami," katanya. BERNAMA

Artikel Lain