suria

Kastam kesan taktik baru seludup dadah ke negara ini

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengesan taktik baru sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan negara jiran sebagai pangkalan sebelum membawa masuk bahan itu ke negara ini menerusi jalan darat atau laut melalui pintu sempadan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Md Hassim Pardi berkata, sebelum ini mereka menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebagai laluan masuk.

"Anggota kita sudah mengenal pasti taktik mereka itu dan sedang membuat risikan selain memperketatkan pemeriksaan kastam di pintu sempadan," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri di Ibu Pejabat KDRM Cawangan Narkotik, di Kampung Jijan, dekat sini, semalam.

Sementara itu, katanya pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai kirakira RM42 juta dan menahan 32 orang yang membabitkan 47 kes sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding RM17.6 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

"Berdasarkan perangkaan KDRM... dadah jenis Syabu mencatatkan jumlah rampasan tertinggi tahun ini iaitu seberat 71 kg berjumlah kirakira RM17.9 juta berdasarkan harga pasaran," katanya.

Ini berbanding dadah Eramin 5 (RM11 juta), Ketamin (RM7.6 juta), Ganja (RM2.9 Juta) dan Heroin (RM2 juta), kata beliau.

"Jumlah nilai dadah berkenaan adalah meningkat berbanding tahun 2008 iaitu Syabu (RM475,000) Eramin 5 (RM3.8 juta), Ketamin (RM10 juta), Ganja (RM744,000) dan Heroin (RM172,000)," katanya.

Katanya rakyat India adalah individu paling ramai ditahan dalam kes dadah, iaitu seramai 23 orang manakala selebihnya membabitkan enam rakyat Iran, satu Pakistan dan dua rakyat tempatan. BERNAMA

Artikel Lain