suria

"Datuk" ditahan polis Thailand kerana kes pecah amanah

BANGKOK: Seorang lelaki warga Malaysia, yang mendakwa dirinya bergelar "Datuk" dan bekerja dengan sebuah bank Cyprus, semalam ditahan oleh polis Thai kerana menipu seorang ahli perniagaan terkemuka Thai membabitkan berjuta-juta baht.

Pol.Col. Supisal Phakdeenarunat, Timbalan Ketua Jabatan Penumpasan Jenayah Thailand, berkata lelaki berusia 50 tahun dan rakannya seorang warga Thai itu ditahan di sebuah hotel lima bintang di kawasan Silom di sini petang Khamis.

Beliau berkata Cherdchai Chearavaranont, seorang pemilik kelab golf di Chonburi dan adik lelaki pemilik CP Group, melaporkan kepada polis bahawa dia ditipu beberapa juta baht oleh kedua-dua lelaki terbabit.

Lelaki warga Malaysia itu memberitahu Cherdchai bahawa dia boleh membantu mengaturkan pinjaman sehingga US$150 juta.

"Datuk itu memberitahu Cherdchai supaya membayar US$225,000 sebagai yuran memproses pinjaman. Bagaimanapun apabila Cherdchai memeriksa dengan bank, dia dapati Datuk itu bukanlah kakitangan bank berkenaan," katanya kepada media tempatan semalam.

Suspek warga Thai itu memberitahu polis bahawa dia bekerja sebagai ejen hartanah dan tampil untuk membantu Cherdchai kerana dia dimaklumkan bahawa Cherdchai memerlukan wang untuk menambahbaik padang golfnya. BERNAMA

Artikel Lain