suria

Bilangan ahli ramai tentukan kemenangan parti

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyeru pemimpin dan ahli akar umbinya supaya berusaha menambah bilangan ahli dan pengundi bagi membuktikan kekuatan parti itu.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, bilangan ahli yang ramai akan menentukan kemenangan sesebuah parti politik.

"Saya nak beritahu, dalam sistem politik demokrasi berparlimen perkara penting ialah bilangan... politic is a game of numbers (politik bermain dengan bilangan).

"Kalau kita ada bilangan yang lebih kita akan menang. Senang sahaja," katanya semasa menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Umno ke-60 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau menegaskan usaha yang jitu perlu digerakkan bagi menarik lebih ramai ahli agar menyertai Umno.

Malah Perdana Menteri menegur agar semua pihak tidak memandang rendah terhadap usaha penambahan ahli.

"Dalam setahun ini, kita tak buat kerja tambah pengundi pun. Ikut rekod kita (Umno) kaku tak bergerak tambah pengundi.

"Oleh itu mulai hari ini kita balik, tambah pengundi, tambah ahli Umno," katanya sambil berjanji akan menyalurkan bantuan kepada bahagian dan cawangan yang mengambil inisiatif menjalankan usaha menambah bilangan ahli.

"Kita akan bagi peruntukan... tapi buatlah kerja, pergi cari pengundi baru," tegasnya...

Dalam pada itu Najib berkata, langkah perubahan dalam Umno dengan meminda perlembagaan melibatkan kuasa yang diberikan kepada Ketua Cawangan serta ketua bagi semua sayap parti di peringkat cawangan untuk meluluskan penerimaan ahli baru adalah sangat signifikan.

Jelasnya usaha sedemikian telah memudahkan rakyat untuk mendekati Umno tanpa mengira latar belakang.

"Kita nak bersifat lebih inklusif, kita nak terima semua golongan dalam parti supaya parti kita lebih kuat, sebab itu kita permudahkan.

"Umno sekarang menjadi parti yang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai kita.

"Umno merupakan parti yang menghimpunkan segala latar belakang rakyat yang ingin bernaung di bawah parti ini demi mencerminkan hati nurani orang Melayu," katanya.

Artikel Lain