suria

Umno Terengganu anjurkan himpunan 50 ribu rakyat bulan Nov sebagai tanda sokongan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK KUALA LUMPUR: Umno Terengganu akan menganjurkan himpunan 50,000 rakyat bagi menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan peringkat pusat dan negeri.

Perwakilan Bahagian Dungun, Datuk Dr Rosli Mat Hassan berkata perhimpunan itu penting bagi memulihkan imej Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

"Umno Terengganu akan mengadakan satu perhimpunan yang akan dihadiri oleh Presiden yang juga Perdana Menteri... himpunan lebih 50,000 adalah untuk nyatakan kepada rakyat bahawa kita ada sokongan yang kuat," katanya ketika membahas usul Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Umno di sini hari ini.

Menurutnya perhimpunan berkenaan akan diadakan pada November depan.

Tambah beliau imej Umno Terengganu sedikit tercalar terutamanya mengenai hubungan antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagaimanapun kata Rosli isu tersebut berjaya diselesaikan dan Umno Terengganu kini pulih sepenuhnya di bawah pimpinan Pengerusi Badan Perhubungan Umno yang juga Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak perlu dilihat sebagai 'PM rakyat' bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

"Jika modul ini berjaya diserapkan saya percaya kita akan menerima lebih banyak sokongan kerana pemimpin-pemimpin kita sentiasa dekat dengan rakyat.

"Kemudiannya kita terjemahkan di peringkat bahagian dan cawangan untuk meraih kembali sokongan rakyat," katanya.

Artikel Lain