suria

Umno juarai semua rakyat : Najib

KUALA LUMPUR: Umno akan menjadi parti menjuarai rakyat dengan mendahulukan rakyat semua kaum daripada diri sendiri melalui perubahan yang sedang dizahirkan oleh parti itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2009 di PWTC di sini, beliau berkata Umno akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat dan mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman.

"Umno tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satusatu pihak sahaja," katanya pada perhimpunan yang dihadiri oleh 2,500 anggota perwakilan.

Sebagai tonggak parti pemerintah, Umno tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besarbesaran atau projek mega sematamata, tetapi mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

"Khidmat Umno harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal," katanya.

Umno, kata Perdana Menteri, mahu dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri.

Najib yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti berusia 63 tahun itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac lepas, berkata Umno tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.

"Persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauhjauh, mesti ditinggalkan," katanya.

Najib, yang berbaju Melayu cekak musang berwarna biru cair dan bersampin songket biru muda, berkata amat mustahak Umno menjadi parti yang berpegang kepada falsafah "wasatan" iaitu bersederhana atau dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai "centrist party".

"Umno tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan," katanya sambil menjelaskan bahawa fahaman Umno semenjak penubuhannya bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.

Dalam proses perubahan Umno itu, Najib berkata Umno juga akan mengubah kriteria menentukan calon pilihan raya kerana Petunjuk Prestasi Utama bagi sesebuah parti politik ialah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan yang kuat serta stabil.

Calon itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting iaitu peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara.

"Pada analisa akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihan raya," katanya.

Beliau juga mengajak semua anggota Umno berhijrah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang supaya Umno menjadi parti yang bersih dan dihormati setelah pindaan perlembagaan parti dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Umno.

Katanya pindaan itu bukan bersifat kosmetik mahu pun tempeltempelan, sebaliknya ia merupakan perubahan secara tuntas dan signifikan.

Najib berkata pindaan itu antaranya akan meluaskan bilangan anggota yang terlibat secara lansung untuk memilih kepimpinan parti dengan membabitkan anjakan angka daripada sejumlah 2,500 anggota perwakilan kepada lebih 146,000 orang.

"Inilah petanda bahawa semangat demokrasi hidup segar dan hidup subur dalam Umno. Nyatanya, tidak ada manamana parti politik di Malaysia yang berani bertindak sedemikian rupa," katanya dalam ucapan 16 muka surat yang disampaikanya dalam masa 75 minit.

Najib berkata Umno telah bertindak berani meminda perlembagaan parti untuk menjadikannya lebih telus, inklusif dan demokratik.

Beliau berkata langkah Umno itu telah menyebabkan pihak-pihak tertentu melatah, hingga ada yang tanpa segan silu cuba meniru dan sekonyong-konyong meminda perlembagaan parti mereka sekalipun tanpa perincian yang rapi.

"Inilah tembelang, aliran dan gaya sebenar mereka, suka membuat janji umum dan tidak pula ada susulan tertentu," katanya.

Dalam ucapannya yang bertemakan "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan", Presiden Umno itu mahukan anggota parti itu mengembalikan budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti itu.

"Generasi terdahulu sanggup berlebih kurang dalam serba kepayahan dan kesederhanaan serta sanggup berkorban harta benda dalam berjuang untuk parti. Sekarang semuanya nakkan yang empuk dan semuanya nakkan yang mewah," kata Najib.

Sebagai contoh, katanya, golongan profesional seperti peguam, doktor, akauntan dan jurutera begitu sedikit yang tampil membantu dengan ikhlas ketika Umno memerlukan kerja sukarela daripada golongan itu semasa musim pilihan raya walaupun mereka anggota parti.

Menyentuh mengenai kejayaan Umno dan Barisan Nasional mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan kawasan Bagan Pinang pada 11 Okt lepas dengan lonjakan majoriti yang berganda, beliau berkata ia membuktikan Umno masih merupakan parti pilihan orang Melayu dan parti pilihan rakyat. BERNAMA

Artikel Lain