suria

Suara akar umbi perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Umno peringkat pusat diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kehendak pemimpin dan ahli peringkat akar umbi bagi memastikan parti itu akan terus mendapat sokongan rakyat.

Ketua Umno Bahagian seremban, Datuk Ishak Ismail berkata, suara akar umbi perlu diberi perhatian terutamanya behubung pemilihan calon dalam pilihan raya bagi mengelakkan berlakunya kesilapan menentukan calon yang diterima rakyat.

"Salah satu punca ramai calon Umno kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu ialah pemilihan calon bukan mengikut kehendak Bahagian tapi ikut kehendak pimpinan.

"Sebab itu saya puji Presiden parti apabila memilih Tan Sri (Mohd) Isa (Samad) sebagai calon di Bagan Pinang kerana itulah pemimpin yang rakyat atau akar umbi mahukan," katanya semasa berucap pada sesi perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno di sini hari ini.

Kata Ishak lagi, walaupun Mohd Isa pernah menghadapi tindakan disiplin dalam parti, namun semangat dan taat setia yang ditunjukkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menjadi kebanggaan dan perlu dihargai.

"Bila saya tengok Presiden pilih Tan Sri Isa, saya kata saya sokong penuh calon ini.

"Sebab saya sokong ialah tatkala beliau digantung jawatan, beliau tidak pernah meragam, tidak pernah merungut nak keluar parti... malah beliau masih jaga kawasannuya di Teluk Kemang," katanya.

Jelas beliau keputusan tersebut jelas membuktikan Umno tidak mementingkan kehendak peribadi sebaliknya mengutamakan kepentingan parti.

"Lain kali buatlah keputusan begitu, ini bukan kehendak peribadi tapi kehendak bersama yang ingin memenangkan parti," katanya.

Beliau yang menyampaikan ucapan dengan gaya bersahaja sambil menyelitkan unsur humor berjaya membuatkan perwakilan yang mengikuti sesi perbahasan tersebut tidak kering gusi.

Tambah beliua lagi, ahli Umno di semua peringkat perlu sama-sama berganding bahu untuk memulihkan semula imej parti untuk memastikan ia sentiasa relevan dan diterima rakyat.

"Gandingan Presiden dan Timbalan Presiden dan elok, dah mantap... tapi sekarang terpulang kepada kita untuk memperkukuhkan Umno," tegasnya.

Dalam ucapannya Ishak turut menyindir pemimpin peringkat atasan supaya tidak melupakan rakyat di peringkat bawahan.

"Masalah yang kita hadapi ialah kadang-kadang ada pemimpin itu yang dah jadi menteri, timbalan menteri, menteri besar, tapi masih menekan kita (pemimpin) yang di bawah.

"Macam mana mereka tekan? Mereka biar kita orang bawah ini uruskan rakyat, kita mana ada peruntukan, macam mana nak bagi bantuan.

"Jadi tuan-tuan yang dekat atas tu pastikan tolong yang di bawah, hormat yang ada di bawah... jangan lupa," katanya sambil disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.

Selain itu Ishak turut mengingatkan supaya sayap parti iaitu Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri agar berusaha mendekati golongan mahasiswa di universiti.

"Golongan pelajar ini penting, ini merupakan tugas Pemuda dan Puteri untuk tarik mereka untuk sokong kita... parti lawan memang sentiasa masuk sana (kampus), jadi kita kena pantau," katanya.

Artikel Lain