suria

Polis jelaskan yang anak ahli politik hanya jadi saksi

KUALA LUMPUR: Anak seorang ahli politik negara yang dipanggil memberi keterangan berhubung satu kes curi barangan kemas bernilai RM25,000 baru-baru ini hanya tampil sebagai saksi bagi membantu siasatan, jelas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya Datuk Ku Chin Wah.

Beliau berkata remaja perempuan berumur 18 tahun itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras beberapa hari lepas, namun siasatan mendapati beliau tidak terlibat langsung dalam kes curi itu.

"Dia hanya jadi saksi bagi membantu siasatan kepada kes curi yang melibatkan dua rakan kolejnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris yang mendakwa anak perempuan seorang ahli politik bersama dua rakannya ditahan kerana terlibat dalam kes curi barangan kemas bernilai RM25,000 sebelum menjualnya di sebuah kedai emas.

Ku berkata kes curi itu berlaku pada bulan lepas di sekitar Cheras dan anak ahli politik tersebut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya polis akan menjalankan siasatan seperti biasa dan ia tidak akan mempengaruhi siasatan walaupun bapanya seorang ahli politik.

"Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Sementara itu, merujuk kepada kejadian tetak anggota polis oleh seorang lelaki tidak dikenali di kawasan letak kereta di Hospital Kuala Lumpur (HKL) Selasa lepas Ku berkata, konstable itu masih berada di hospital dan keadaannya stabil.

"Kami belum ambil keterangan daripada dia dan kes ini akan disiasat dari pelbagai sudut termasuk tidak menolak kemungkinan membabitkan kejadian samun atau dendam," katanya. BERNAMA

Artikel Lain