suria

Penjara lapan tahun sebabkan kematian teman lelaki isteri

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak yang menyebabkan kematian teman lelaki isterinya setelah melihat kedua-duanya berlaku sumbang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Lee Meng Ching, 36, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu kerana tidak dapat menahan kemarahan selepas melihat isterinya melakukan hubungan seks dan dalam keadaan berbogel bersama-sama Chong Swee Sang.

Lee, yang kelihatan tenang dalam kandang tertuduh, diperintah oleh Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Jun 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Chong, 49, di sebuah rumah di Jalan Dua, Jalan Chan Sow Lin di sini pada 4 pagi 22 Jun 2005.

Dalam penghakimannya, Azman berkata bahawa dalam kes itu, satu nyawa telah hilang, dan sepatutnya tertuduh tidak boleh mengambil keputusan sendiri semata-mata kerana marah demi mempertahankan maruah.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah juga perlu menimbang keadaan tertuduh yang sebelum itu telahpun memberi amaran kepada Chong supaya tidak mendekati isterinya tetapi pada hari kejadian tertuduh telah melihat sendiri isterinya berbogel dan melakukan hubungan seks dengan Chong.

"Alat yang digunakan hingga menyebabkan kematian ini adalah sebatang kayu yang boleh diperoleh di luar rumah si mati dan bukannya alat yang dibawa untuk mematikan mangsa secara mengejut.

"Si mati telah mencabar tertuduh sebagai seorang lelaki kerana isteriya telah curang. Tertuduh tiada kesalahan lampau tetapi dia tidak dapat menahan kemarahan kerana kecurangan isteri dan kenakalan si mati. Tertuduh mempunyai kehidupan yang baik sebelum ini," katanya.

Lee sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati tetapi pihak pendakwaan membuat pindaan pada Selasa lepas setelah memanggil tiga orang saksi.

Ketika rayuan, Lee yang diwakili peguam Andrew Davis, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana anak guamnya telah insaf dan berhasrat menjaga tiga anaknya yang kini dalam jagaan abangnya.

Davis berkata tindakan Lee itu adalah kerana didorong perasaan marah apatah lagi melihat sendiri keadaan isterinya dengan si mati walaupun sebelum ini berkali-kali isternya telah dinasihati supaya fokus kepada rumah tangga dan membesarkan anak-anak.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akhram Gharib memohon hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menjatuhkan hukuman sendiri.

Katanya, disebabkan tindakan tertuduh, isteri si mati terpaksa menanggung seorang diri anak mereka yang terencat akal dan kepentingan awam seharusnya lebih diambil kira berbanding kepentingan tertuduh. BERNAMA

Artikel Lain