suria

Najib suntik keyakinan dan semangat baru anggota Umno

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tidak mahu Umno dilihat sebagai parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit dan sebagai "parti cari makan" oleh mana-mana anggotanya.

"Persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauhjauh, mesti ditinggalkan," kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan dasar sulungnya selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti di sini hari ini.

Najib, yang mengambil alih pucuk pimpinan parti dan kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi awal tahun ini dalam ucapannya, menggariskan perubahan yang harus dilakukan oleh anggota dan parti itu.

Selaku tunjang Barisan Nasional, Umno bersama partiparti komponen lain sedang mengambil langkah pengukuhan semula dan memulihkan sokongan rakyat terhadap kerajaan setelah kehilangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya 2008.

Dalam ucapannya yang berterus terang dan tegas itu, Najib nampak berjaya menyuntik keyakinan dan semangat kepada 2,500 anggota perwakilan untuk parti bangkit kembali ke tahap gemilangnya menerusi perubahan yang sedang dilakukan oleh parti itu.

"Bangkitlah bersama-sama saya, rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah martabatkan warisan ini (Umno)," kata beliau disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan yang berdiri hormat di hujung ucapan beliau selama satu jam 20 minit itu.

Beliau berkata bahawa untuk sentiasa memperoleh sokogan massa, adalah penting Umno ditanggap dan diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat.

"Kita mahu mahu Umno dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri," katanya.

Perwakilan yang sama akan menghadiri perhimpunan agung khas petang ini sesudah perhimpunan agung ditangguhkan sementara sesi tengah hari ini adalah bagi meluluskan cadangan pindaan perlembagaan parti yang bertujuan menjadikannya lebih terbuka, inklusif dan demokratik.

Pindaan itu, yang disifatkan oleh Najib sebagai langkah signifikan yang bersejarah dan berani, antara lain mencadangkan penghapusan kuota yang dikenakan di bawah peruntukan sekarang bagi bertanding bagi jawatanjawatan tertinggi yang dikaitkan dengan gegala politik wang.

Najib juga mengajak anggota Umno di semua peringkat kerap melakukan muhasabah diri untuk melihat kelemahan dan kekhilafan, dan mengambil langkah mengatasi kelemahan dan kekurangan tersebut

"Apa yang penting, ahli-ahli Umno perlu mewajahkan peri laku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jatidiri dan kekuatan parti," kata Presiden Umno itu.

Artikel Lain