suria

Najib bidas pihak tidak sabar 'talkinkan' Umno

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pihak-pihak yang tidak sabar 'mentalkinkan' Umno sedangkan parti itu akan bangkit kembali sebagai organisasi yang lebih kuat dan berpadu selepas menghadapi cabaran.

Presiden Umno itu berkata sejak selepas pilihan raya umum ke12 lepas, musuh-musuh politik Umno telah mula meramalkan kejatuhan parti berkenaan tetapi perkara itu bukan pertama kali berlaku.

"Kata mereka, Umno sudah nazak dan hanya menanti waktu. Jangkaan ini juga dibuat apabila Parti Kemerdekaan Tanah Melayu dan Parti Islam seMalaysia tertubuh akibat perpecahan dalam Umno," katanya.

Dalam ucapan dasar sulungnya sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2009 hari ini, Perdana Menteri berkata telahan juga dibuat selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila kerajaan Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga apabila banyak calon Umno tewas.

Katanya andaian sebegini juga dibuat selepas pemilihan Umno 1987 dan kemudiannya apabila terbentuk Parti Melayu Semangat 46 dan dicanang pada pilihan raya umum 1999.

"Hakikatnya setiap generasi kepimpinan Umno menghadapi cabaran yang tersendiri sesuai dengan masa dan zaman. Alhamdulillah, setiap cabaran berjaya diatasi dengan perpaduan dan semangat yang kental," katanya.

Merujuk keputusan pilihan raya umum ke12 lepas, Najib berkata rakyat telah memberi mesej yang jelas kepada Umno dan justeru itu, Umno sedar dan insaf untuk berubah.

"Kita tahu rakyat masih sayangkan Umno. Apa yang mereka inginkan hanyalah agar Umno berubah. Nyatanya, kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah," katanya.

Apa yang pasti, beliau berkata kelangsungan parti itu begitu penting bukan untuk pemimpin-pemimpin Umno tetapi untuk bangsa, agama, negara dan rakyat.

Katanya jika kesemua pemimpin dan anggota Umno bersatu hati, tekad dan membulatkan usaha, maka mereka akan berupaya bersama-sama menghadapinya serta tidak pernah gagal melakukan sesuatu tindakan hanya kerana ianya sukar.

"Sesungguhnya amanah besar ini tidak boleh dipikul oleh seseorang. Ia perlu dijinjing oleh satu jemaah, satu barisan yang tersusun rapi," katanya.

Najib berkata perjuangan Umno adalah betul dan yakin ia merupakan perjuangan yang benar.

"Kitalah Umno, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang walau apa pun dugaan dan rintangan," katanya disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan, pemerhati dan para hadirin pada perhimpunan tersebut. BERNAMA

Artikel Lain