suria

Muhyiddin gesa parti komponen BN turut sama berubah

KUALA LUMPUR: Langkah pembaharuan yang diambil Umno menerusi pindaan perlembagaan parti hari ini harus diikuti oleh partiparti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya mahu kembali diterima rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata hanya dengan cara itu rakyat dapat melihat bahawa BN serius dalam melakukan perubahan.

"Langkah pertama dimula dengan Umno mengambil inisiatif untuk berubah, dan pastinya langkah ini penting kerana Umno parti teras dalam BN. Tetapi kalau rakyat nak terima BN maka proses perubahan serupa mesti dilakukan di peringkat komponen parti.

"Peranan komponen parti tidak boleh dilihat terasing, setiap komponen parti ada peranan masingmasing. Kalau Umno berubah tapi komponen BN lain tak berubah, orang masih akan kata kita tak berubah," katanya kepada pemberita di sini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika mengulas sama ada partiparti komponen BN juga harus melakukan transformasi selepas usul pindaan perlembagaan Umno dilulus oleh perwakilan ke perhimpunan agung khas parti itu hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata perubahan yang dilakukan perlu meliputi aspekaspek seperti kepimpinan dan corak politik yang membabitkan integriti dan hubungan dengan rakyat.

Bagaimanapun kata Muhyiddin ia terserah kepada partiparti komponen sendiri sama ada mahu melaksanakan perubahan atau kekal dengan cara mereka.

"Kalau mereka rasa perlu nak buat pengubahsuaian mereka boleh buat kerana mereka lebih tahu (macam mana) nak mantapkan lagi parti mereka supaya lebih lebih inklusif, lebih demokratik. Ini bukan hak kami, itu hak mereka dan mereka boleh menentukan pembaharuan mereka sendiri," katanya.

Mengulas usul pindaan perlembagaan Umno hari ini, Muhyiddin berkata penerimaan sebulat suara oleh perwakilan parti tanpa perbahasan menunjukkan mereka memahami dan bersedia memastikan Umno lebih demokratik dan inklusif.

"Tahniah kepada perwakilan kerana menyokong sebulat suara pindaan yang dikemukakan," katanya.

Muhyiddin turut menepis kebimbangan bahawa sistem pemilihan yang baru diluluskan itu akan menyebabkan berlaku pertukaran pemimpin pada masa yang singkat sekali gus menjejaskan pelaksanaan dasar dan polisi.

"Saya tak fikir dengan sebab pindaan ini maka pemimpin akan silih berganti, malah saya berpandangan dengan sistem baru ini pemimpin sekarang mesti membuktikan yang dia pemimpin yang baik, dia mesti bergerak ke bawah, dia dilihat bekerja untuk rakyat, dia dilihat bekerja untuk parti bagi memastikan terus dipilih pada pemilihan seterusnya," kata Muhyiddin.

Antara usul pindaan yang diluluskan ialah pemansuhan sistem kuota pencalonan sekali gus membuka ruang untuk lebih ramai menyertai pemilihan parti. BERNAMA

Artikel Lain