suria

Keluarga tertuduh aktif dengan kumpulan Al Arqam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa bapa kepada dua tertuduh yang didakwa membunuh ibu dan bapa saudara mereka adalah pengikut kumpulan Al Arqam dan mengajar ajaran itu kepada anak-anaknya.

Mohd Ali Kader Mydin, 49, yang merupakan adik kepada Abdul Razak (bapa dua daripada tiga tertuduh, Muhammad Ilyas dan Muhammad Fauzi) berkata Abdul Razak menyertai kumpulan itu selama 15 tahun sebelum ia diharamkan oleh kerajaan.

Katanya beliau tidak bersetuju dengan ajaran Al Arqam dan pernah bergaduh dengan Abdul Razak kerana menegurnya.

"Memang dari kecil mereka (anak Abdul Razak) ada pengaruh Al Arqam, setahu saya Muhammad Ilyas aktif. Dalam tujuh hingga lapan tahun dulu, Abdul Razak tidak hantar mereka ke Al Arqam tetapi dia mendidik mereka seperti itu tetapi Muhammad Ilyas semasa kecil dulu dihantar ke tadika Al Arqam," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin.

Menjelaskan hubungannya dengan keluarga Abdul Razak, Mohd Ali berkata hubungan mereka tidak begitu rapat kerana pernah berlaku perselisihan faham berkaitan hal peribadi.

Ditanya Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah sama ada beliau mengetahui Muhammad Ilyas mengalami masalah mental, Mohd Ali berkata: "Saya tidak tahu."

Muhammad Ilyas, 23, dituduh bersama-sama dengan adiknya Muhammad Fauzi, 21, serta sepupunya Muhammad Nizam Mohd Ibrahim (anak mangsa) membunuh Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 57C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada 1 Okt 2008 antara pukul 12 tengah hari dan 8 malam.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding ini, Mohd Ali turut ditunjukkan rakaman adegan tiga tertuduh melakukan proses menghidupkan semula mangsa dan menyebut nama ahli keluarganya sambil memegang gambar pemimpin Al Arqam Ashaari Muhammad.

Ketika itu Mohd Ali dilihat beberapa kali menitiskan air mata, lebih-lebih lagi apabila mendengar suara kesakitan adik iparnya, Rosina dan melihat mayat abangnya, Mohd Ibrahim berlumuran darah di muka.

Abdul Razak, 51, yang turut dipanggil memberi keterangan memberitahu bahawa beliau masih tertanyatanya tentang apa yang telah berlaku dan gagal mengingatinya.

Abdul Razak berkata beliau juga hairan bagaimana beliau boleh terpengaruh dengan arahan Muhammad Ilyas sehingga langsung tidak menghalang perbuatan anaknya daripada memukul semua ahli keluarga.

Dalam kejadian pada hari raya itu, Abdul Razak berkata Muhammad Ilyas bertindak memberi arahan kepada semua ahli keluarga dan memberi ceramah agama kirakira lima hari sebelum kejadian.

Katanya Muhammad Ilyas ada memberitahunya yang dia boleh melihat golongan soleh, jin dan merawat orang tetapi tidak pasti sama ada ketika itu beliau percaya atau hanya sekadar mengikut sahaja katakata Muhammad Ilyas.

"Saya ada belajar agama. Ketika belajar saya tahu memang ada orang soleh yang boleh lihat bendabenda macam ini, tapi bila dia cakap macam itu saya tak tahu macam mana sebab kita tahu anak kita macam mana. Dia bukan wali tapi jika dia nampak itu rezeki dia, sebab macam jin ni bomoh pun boleh nampak," katanya yang mengakui tindakannya mendengar ceramah agama itu dan rela dipukul kerana gagal berfikir ketika itu.

Abdul razak turut memberitahu bahawa anaknya itu adalah normal dan tidak pernah dirawat di manamana hospital mental.

Selain itu, adik kepada tertuduh ketiga, Muhammad Kamil Mohd Ibrahim, 15, berkata dia turut dipukul oleh Muhammad Ilyas dengan menggunakan botol kaca sehingga pengsan.

Ketika beliau menunjukkan kesan luka di kepala akibat pukulan itu, mereka yang berada di dalam mahkamah kelihatan terkejut melihatnya kerana bahagian itu tidak lagi ditumbuhi rambut dan lukanya sangat besar hingga memaksa remaja Tingkatan Tiga itu memakai songkok bagi menutupinya.

Bagaimanapun sepanjang menceritakan detik dipukul, Muhammad Kamil berkata beliau hanya merasa kesakitan sedikit sahaja dan langsung tidak takut malah mengikut sahaja.

Sepanjang prosiding Muhammad Kamil lebih banyak menjawab tidak tahu dan tidak ingat hinggakan Azman mengingatkannya bahawa jawapan sebegitu tidak semestinya boleh membantu melepaskan adik-beradiknya dan bertanya kepada Muhammad Kamil jika ada sesiapa yang mengajarnya supaya menjawab sebegitu tetapi remaja itu berkata :"Tiada."

Perbicaraan bersambung 20 Nov depan. BERNAMA

Artikel Lain