suria

Empat suspek ahli 'Geng Camry Moo' ditahan

PETALING JAYA: Empat lelaki dipercayai ahli 'Geng Camry Moo' yang terlibat dalam 30 kes curi kereta jenis Toyota ditahan di dua lokasi di sini pada Isnin dan Selasa lepas.

Tiga daripada mereka yang berusia lingkungan umur 30-an itu ditahan di Jalan PJS 10 sekitar Sunway selepas insiden tembak menembak dengan polis pada 11.30 malam Isnin lepas ketika cuba melarikan sebuah kereta Toyota Camry.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga suspek yang berada dalam sebuah kereta juga jenis Toyota Camry cuba melarikan diri selepas terlihat kehadiran kereta peronda polis.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan polis membalas tembakan sebelum menahan ketiga-tiga mereka.

Keesokannya polis menyerbu sebuah rumah di ibu negara dan menahan seorang lagi lelaki dipercayai orang tengah kumpulan itu.

Polis merampas 22 nombor pendaftaran kenderaan palsu, 13 cukai jalan palsu, lapan cermin kereta, sebilah parang panjang, mesin kunci pendua dan peralatan untuk mematikan sistem penggera kenderaan.

ACP Arjunaidi berkata kumpulan yang aktif sejak empat bulan lalu itu dipercayai telah melarikan 28 lagi kereta Toyota daripada jenis Camry, Hilux dan Fortuner.

Polis masih memburu ahli kumpulan itu yang mempunyai rangkaian di sekitar Lembah Kelang. BERNAMA

Artikel Lain